Penguji Awal SearchGPT Mengatakan Ia Masih Mempunyai Masalah “Halusinasi”, Papar Maklumat Tidak Tepat

TechnologyDigital
5 Sep 2024 • 6:13 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

OpenAI sebelum ini telah mengumumkan pembangunan enjin carian dikuasakan dengan kecerdasan buatan, dinamakan sebagai SearchGPT – sekaligus memposisikan ia sebagai pesaing untuk Google dan juga Bing. Buat masa ini, SearchGPT ditawarkan secara terhad kepada beberapa pengguna sahaja, namun komen awal para pengujinya seperti memperlihatkan SearchGPT masih jauh daripada menjadi pencabar Google.

SearchGPT menyasarkan untuk memperlihatkan jawapan kepada sesuatu carian dengan mudah dan tersusun, termasuk memperlihatkan pautan ke sumber untuk rujukan lanjut. Pesaing terdekatnya boleh dikatakan adalah Perplexity, selain Google AI Overviews sendiri.

image is not available

Apa pun, mengikut mereka yang telah menerima akses awal kepada SearchGPT mengatakan penawaran dan kandungan hasil carian padanya tidak begitu baik, selain turut mengalami masalah halusinasi, selain memaparkan maklumat tidak tepat. Ini sekaligus membawa kepada masalah apabila ingin memposisikan ia sebagai enjin carian – dimana menjadi pusat rujukan untuk pelbagai informasi.

Namun, mungkin pihak OpenAI sendiri mengetahui masalah ini, dan memilih untuk menawarkannya dalam akses terhad untuk menerima maklumbalas awal, serta menambah-baiknya dari hari ke hari.

Ia juga tidak diketahui lagi bagaimanakah SearchGPT akan menawarkan hasil carian untuk info tempatan, dan sebagainya – dimana kandungan untuk melatih melibatkannya tidak begitu banyak berbanding melibatkan carian biasa.

Sama-sama kita nantikan sendiri akses kepada SearchGPT dalam melihat apakah penawarannya kepada pengguna tempatan kelak.