Pendapatan rakyat perlu seiring kos sara hidup

LocalBusiness & Finance
20 Aug 2026 • 9:15 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pendapatan rakyat perlu seiring kos sara hidup

PETALING JAYA: Usaha meningkatkan pendapatan rakyat perlu dilaksanakan seiring langkah mengawal kos sara hidup supaya kenaikan gaji benar-benar memberi kesan kepada kuasa beli dan taraf kehidupan.

Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, peningkatan pendapatan semata-mata tidak mencukupi sekiranya kos keperluan asas turut meningkat pada kadar lebih tinggi.

Beliau berkata, kerajaan perlu melihat kedua-dua aspek itu secara seimbang bagi memastikan rakyat bukan sekadar menerima pendapatan lebih tinggi, tetapi mempunyai lebih banyak pendapatan boleh guna.

“Meningkatkan pendapatan memang perlu, tetapi ia mesti bergerak seiring dengan usaha mengurus kos sara hidup. Kita perlu melihat peningkatan untuk kedua-dua pendapatan dan perbelanjaan.Kalau pendapatan naik RM300 tetapi kos perumahan, makanan, pengangkutan dan penjagaan anak meningkat lebih daripada jumlah itu, rakyat masih berasa tertekan.

“Belanjawan 2027 perlu lebih menyeluruh merangkumi menaikkan pendapatan, meningkatkan produktiviti, menyediakan pekerjaan bergaji tinggi dan pada masa yang sama memastikan kos keperluan asas tidak meningkat secara tidak munasabah. Matlamat akhirnya bukan sekadar pendapatan yang lebih tinggi, tetapi pendapatan boleh guna yang lebih tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, kerajaan memaklumkan kerangka Belanjawan Madani Kelima 2027 yang akan dibentangkan pada 9 Oktober depan akan terus memberi keutamaan kepada usaha meningkatkan pendapatan rakyat, memperluas peluang pekerjaan berkualiti dan menangani cabaran kos sara hidup menerusi pendekatan bersasar serta mampan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, matlamat utama adalah memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dirasai dengan lebih menyeluruh oleh seluruh lapisan masyarakat.

Menurut beliau, tumpuan Belanjawan 2027 merangkumi tiga bidang utama iaitu menaikkan siling, menaikkan lantai dan memperkukuh tatakelola baik.

Mengulas langkah yang boleh diperkenalkan kerajaan, Ahmed Razman berkata, lebih banyak insentif kepada majikan boleh dipertimbangkan, namun ia perlu bersyarat dan berasaskan peningkatan produktiviti.

“Kerajaan tidak seharusnya sekadar membayar majikan supaya gaji dinaikkan kerana ini mungkin hanya menjadi penyelesaian jangka pendek. Sebaliknya, kerajaan boleh menawarkan potongan cukai, geran padanan atau insentif caruman kepada syarikat yang menaikkan gaji pekerja secara berkekalan, khususnya apabila kenaikan itu dikaitkan dengan latihan, pensijilan dan peningkatan produktiviti.

“Contohnya, jika sebuah syarikat melabur dalam peningkatan kemahiran pekerja dan kemudian menaikkan gaji mereka berdasarkan peningkatan kemahiran serta produktiviti, kerajaan boleh memberikan insentif tambahan,” katanya.

Sementara itu, Pakar Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Prof. Emeritus Barjoyai Bardai berkata, kenaikan median gaji sebanyak RM27 atau kira-kira 0.9 peratus masih relevan, namun tidak memadai kerana tidak seimbang dengan peningkatan kos sara hidup dan produktiviti pekerja.

“Kenaikan itu relevan, tetapi tidak memadai. Ia juga tidak seimbang dengan peningkatan kos sara hidup dan tidak mencerminkan peningkatan produktiviti.

“Ini menunjukkan masalah struktur yang kita hadapi di Malaysia, iaitu pertumbuhan gaji masih agak perlahan atau statik. Kadar kenaikan gaji tidak seiring dengan peningkatan kos sara hidup dan produktiviti,” katanya.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan pendapatan pekerja semakin ketinggalan berbanding peningkatan kos sara hidup, sekali gus memberi tekanan kepada kehidupan rakyat.

“Apabila kos kehidupan terus meningkat, tetapi pendapatan tidak bertambah pada kadar yang mencukupi, rakyat akan terus berdepan tekanan.

“Sebab itu kita melihat kehidupan rakyat semakin terasa perit dan terhimpit. Kos sara hidup terus meningkat, tetapi kenaikan gaji tidak cukup pantas untuk menampung peningkatan perbelanjaan harian,” katanya. – UTUSAN

The post Pendapatan rakyat perlu seiring kos sara hidup appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved