Projek terbaharu Gamuda di Australia turut buka peluang pembangunan hartanah dengan GDV RM4.6 bilion - Penganalisis

7 Sep 2026 • 10:20 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Projek terbaharu Gamuda di Australia turut buka peluang pembangunan hartanah dengan GDV RM4.6 bilion - Penganalisis Image from: Projek terbaharu Gamuda di Australia turut buka peluang pembangunan hartanah dengan GDV RM4.6 bilion - Penganalisis hamden07/09/2026 - 10:20 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 7 Sept - Gamuda Bhd bukan sahaja mengukuhkan buku tempahan pesanan pembinaannya menerusi projek Parramatta Integrated Station Development (ISD) di Sydney bernilai AUD880 juta (kira-kira RM2.5 bilion), malah bakal mendapat akses kepada peluang pembangunan hartanah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sekitar AUD1.6 bilion (RM4.6 bilion).

 

RHB Research berkata, selain kontrak pembinaan, anugerah itu turut memberikan hak pembangunan hartanah secara sama rata 50:50 kepada Gamuda dan MTR Corporation Australia (MTR), yang juga merupakan sebahagian daripada konsortium Riverside Link.

 

Projek Parramatta ISD dianugerahkan kepada konsortium Riverside Link yang diterajui Gamuda oleh Sydney Metro pada 3 September lalu, dengan Gamuda memegang bahagian efektif sebanyak 80%, atau kira-kira RM2 bilion.

 

Kerja-kerja reka bentuk dan pembinaan dijangka bermula bulan ini dan disasarkan siap pada 2032.

 

"Pembangunan hartanah berkenaan dianggarkan mempunyai GDV AUD1.6 bilion dan boleh dilaksanakan dalam tempoh kira-kira 12 tahun, namun hanya selepas kerja-kerja stesen disiapkan pada 2032.

 

"Peluang itu dilihat mampu memberikan sumbangan jangka panjang kepada segmen hartanah Gamuda di Australia, yang ketika ini mempunyai baki GDV sekitar RM513 juta, khususnya di Melbourne," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut RHB Research, projek Parramatta ISD merupakan projek ketiga Gamuda yang diperoleh daripada Sydney Metro selepas Western Tunnelling Package bernilai AUD2.2 bilion pada 2022 dan West Stations Package bagi lima stesen bernilai AUD2.7 bilion pada Disember 2025.

 

Dari perspektif margin, projek Parramatta ISD dijangka mencatat margin keuntungan sebelum cukai (PBT) sekitar 6% hingga 8%, selain dilengkapi peruntukan kenaikan dan penurunan kos (rise and fall) yang membolehkan pemindahan kos tertentu.

 

Buku tempahan meningkat RM61.6 bilion

Dengan kontrak baharu itu, buku tempahan tertunggak Gamuda kini meningkat kepada kira-kira RM61.6 bilion.

 

"Jika mengambil kira kadar pengiktirafan kontrak sekitar RM1.4 bilion sebulan dari September hingga Disember, buku tempahan tertunggak kumpulan dijangka masih berada pada sekitar RM56 bilion pada akhir 2026, walaupun tiada kontrak baharu diperoleh sehingga penghujung tahun.

 

"Lebih menarik, Gamuda telah merekodkan kemenangan kontrak baharu bernilai RM9.3 bilion bagi FY27F setakat ini, bersamaan kira-kira 47% daripada sasaran asal RM20 bilion yang ditetapkan bagi tahun kewangan tersebut," katanya.

 

Tambahnya, pencapaian yang hanya direkodkan selepas sebulan memasuki FY27F itu, sekali gus meningkatkan keyakinan terhadap potensi Gamuda untuk melepasi sasaran kemenangan kontrak asal.

 

RHB Research mengekalkan saranan 'Beli' dengan harga sasaran (TP) baharu RM6.20 daripada RM6.02, menawarkan potensi kenaikan 34% serta hasil FY27F (Jul) sekitar 2%.

 

Kelebihan skala operasi berpotensi raih kontrak baharu 

Sementara itu MBSB Research berkata, Parramatta ISD sebagai projek keenam daripada sembilan stesen di sepanjang jajaran Sydney Metro West yang diperoleh Gamuda, kumpulan itu kini mempunyai kelebihan daripada segi skala operasi serta pengalaman pelaksanaan.

 

Keadaan itu dijangka membantu meningkatkan kecekapan pelaksanaan dan menyokong margin projek, selain peruntukan kenaikan dan penurunan kos (rise-and-fall provisions) yang membolehkan kos tertentu dipindahkan serta mengehadkan risiko peningkatan kos.

 

“Rekod prestasi yang semakin kukuh turut meletakkan Gamuda pada kedudukan baik untuk memperoleh projek Pyrmont ISD, yang dijangka dianugerahkan dalam tempoh dua bulan akan datang,” menurut analisis berkenaan.

 

MBSB Research berkata, projek Parramatta ISD dijangka memberikan margin PBT sekitar 6% hingga 8%, mengatasi margin daripada projek Sydney Metro terdahulu, khususnya Western Tunnelling Package (WTP) yang terjejas akibat kos berkaitan COVID-19.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'Beli' terhadap Gamuda dengan harga sasaran RM5.60, yang berasaskan kaedah jumlah bahagian (SOTP) dan mencerminkan nisbah harga kepada pendapatan (PE) FY27F sebanyak 24.5 kali.

 

Gamuda turut dilihat berpotensi menutup CY26 dengan buku tempahan melebihi RM60 bilion sekiranya beberapa projek dalam saluran kontraknya berjaya diperoleh menjelang akhir tahun.

 

Antara peluang tersebut termasuk Kerian Water EPCC bernilai RM4 bilion hingga RM5 bilion, Langat 2 Fasa 2 bernilai RM3 bilion hingga RM4 bilion, projek ECI domestik, Pyrmont ISD di Australia serta kerja tambahan Xizhi Donghu MRT di Taiwan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved