Pasaran premium buka peluang baharu untuk lada Sarawak – Noraini

LocalBusiness & Finance
17 Sep 2026 • 5:57 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pasaran premium buka peluang baharu untuk lada Sarawak – Noraini Image from: Pasaran premium buka peluang baharu untuk lada Sarawak – Noraini hamden17/09/2026 - 17:57 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 17 Sept - Lada Sarawak berpotensi diperluas ke pasaran premium antarabangsa berikutan permintaan terhadap lada berkualiti tinggi, sekali gus membuka ruang untuk meningkatkan pendapatan pekebun, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

 

Beliau berkata kekuatan Malaysia bukan sekadar pada jumlah pengeluaran, sebaliknya terletak pada kualiti dan identiti lada Sarawak yang mempunyai kelebihan untuk menembusi segmen premium.

 

Katanya, potensi pasaran itu dapat dilihat menerusi eksport 12.8 tan metrik lada putih krim bernilai RM1.024 juta dari 2022 hingga Mei lalu, antaranya ke Jepun dan Vietnam, selain menerima permintaan daripada negara-negara Scandinavia.

 

“Apabila kualiti memenuhi kehendak pasaran, lada negara boleh dipasarkan pada nilai lebih tinggi,” katanya ketika berucap pada Seminar Kemampanan Industri Lada di Dewan Masyarakat Spaoh, Betong Sarawak pada Khamis.

 

Noraini

 

Noraini berkata perkembangan permintaan daripada pasaran antarabangsa menunjukkan industri lada mempunyai ruang untuk beralih daripada pendekatan yang hanya mengejar peningkatan pengeluaran kepada penghasilan produk yang lebih berkualiti dan bernilai tinggi.

 

Menurutnya, kejayaan industri agrikomoditi tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah pengeluaran semata-mata, tetapi turut mengambil kira nilai yang akhirnya diterima oleh pekebun.

 

Penanaman lada premium diperluas sehingga 750 hektar

Sehubungan itu, kerajaan menerusi Program Kemampanan Penanaman Lada di Malaysia menyasarkan peluasan tanaman lada premium seluas 750 hektar selain pengurusan 800 hektar tanaman lada matang.

 

Program berkenaan memberi tumpuan kepada peningkatan hasil, kualiti dan pendapatan pekebun, sekali gus menyokong usaha memperkukuh kedudukan lada Malaysia dalam pasaran bernilai tinggi.

 

Sarawak mempunyai peranan penting dalam merealisasikan potensi berkenaan memandangkan hampir keseluruhan kawasan tanaman lada Malaysia terletak di negeri itu.

 

Noraini berkata keadaan tersebut memerlukan kerjasama berterusan antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak bagi memastikan pembangunan industri lada dapat diperkukuh secara mampan.

 

Di Betong sahaja, terdapat 5,070 pekebun lada dengan kawasan tanaman seluas 1,102.8 hektar, menjadikan komoditi berkenaan antara sumber pendapatan penting masyarakat setempat.

 

Beliau berkata industri lada juga perlu memperluas penggunaan teknologi, pengeluaran lada premium serta aktiviti hiliran bernilai tambah bagi membolehkan lebih banyak nilai dijana daripada komoditi berkenaan.

 

Katanya, matlamat akhirnya bukan sekadar menghasilkan lebih banyak lada, tetapi membina industri yang lebih kukuh dan mampu memberikan pulangan lebih baik kepada pekebun. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved