
LUMUT – Seorang pengusaha kolam udang berhadapan hukuman gantung sampai mati apabila dia dituduh membunuh seorang lelaki bulan lalu di Mahkamah Majistret Seri Manjung di sini hari ini.
Mengikut pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Asma’ Nahdiyya Che Ab. Rahim, tertuduh, Lau Kok Sing, 38, didakwa membunuh lelaki berkenaan pada 23 Julai lalu antara pukul 10 hingga 11 pagi.
Ia dilakukan di kawasan pembakaran longgokan sampah berdekatan dengan kolam udang Kampung Acheh, Sitiawan di dalam daerah Manjung di negeri ini.
Dia didakwa dengan sengaja melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap M. Kaliswaram, 45, dan dengan itu telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Untuk kesalahan itu, Kok Sing boleh dikenakan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun.
Jika tidak dihukum mati, tertuduh hendaklah dihukum dengan sebat tidak kurang 12 kali sebatan.
Tertuduh mengaku tidak bersalah sebelum Asma’ Nahdiyya menetapkan sebutan semula kes berkenaan pada 7 September depan.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nuranisah Ismah Muhammad Husaini manakala tertuduh diwakili peguam Jarreth Ong.
Berkaitan kes sama, dua lelaki turut didakwa di bawah Seksyen 352 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan iaitu Ng Wan Hong, 50, dan warga Myanmar, Naing Min Htet, 33.
Mereka didakwa dengan sengaja telah melakukan kekerasan jenayah ke atas Kaliswaram pada waktu dan lokasi sama.
Wan Hong dibebaskan dengan jaminan RM1,500 dengan seorang penjamin manakala sebutan semula kes bagi Htet akan dilakukan pada 17 Ogos bagi lantikan jurubahasa Myanmar. – KOSMO! ONLINE
The post Pengusaha kolam udang didakwa bunuh lelaki appeared first on Kosmo Digital.






