
BANGKOK - Tujuh individu, termasuk suspek maut dalam satu insiden tembakan di sebuah sekolah menengah di daerah Bang Kruai, wilayah Nonthaburi, Thailand, hari ini.
Suspek, seorang pelajar lelaki terlebih dahulu membunuh datuk dan neneknya sebelum melepaskan tembakan di kawasan sekolah.
Menurut Polis Diraja Thailand, suspek yang merupakan pelajar di sekolah berkenaan terlebih dahulu menggunakan sepucuk pistol milik datuknya untuk menembak mati kedua-dua warga emas itu di kediaman mereka, sebelum menuju ke sekolah yang terletak di utara Bangkok.
Dalam kejadian itu, tiga guru dan tiga pelajar terbunuh, manakala suspek turut disahkan meninggal dunia.
Jurucakap polis, Trairong Phiwphan, berkata, suspek melepaskan sebanyak 26 das tembakan sepanjang serangan itu, sementara 34 butir peluru lagi ditemukan di lokasi kejadian.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Polapee Suwunchwee, berkata seramai 15 pelajar cedera ketika cuba menyelamatkan diri, namun kecederaan yang dialami bukan akibat terkena tembakan.
Punca kematian suspek masih belum disahkan secara rasmi.
Media tempatan pula turut menyiarkan beberapa laporan berbeza, dengan ada yang mendakwa suspek membunuh diri, manakala laporan lain menyatakan dia ditembak polis.
Rakaman dan gambar yang dikongsi media tempatan menunjukkan suspek memakai uniform sekolah berwarna ungu serta membawa sebuah beg silang hitam, manakala kelongsong peluru bertaburan di kawasan kejadian.
Insiden berkenaan dilaporkan berlaku sekitar jam 10 pagi waktu tempatan di sebuah sekolah menengah di wilayah Nonthaburi.
Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan memaklumkan semua agensi berkaitan telah diarahkan supaya memberikan bantuan serta sokongan kepada mereka yang terjejas.
Sementara itu, Menteri Pendidikan, Prasert Chantararuangthong, berkata, semua agensi di bawah kementeriannya telah diarahkan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan pelajar, guru dan kakitangan sekolah terus menjadi keutamaan.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan serta memberi jaminan bahawa bantuan menyeluruh, termasuk sokongan fizikal dan psikologi, akan disediakan kepada semua mangsa yang terlibat.
Thailand antara negara di Asia Tenggara yang merekodkan kadar pemilikan senjata api awam yang tinggi.
Dianggarkan kira-kira 10 juta senjata api berada dalam edaran di negara itu, bersamaan kira-kira satu senjata bagi setiap tujuh penduduk.
Insiden terbaru itu sekali lagi mencetuskan kebimbangan mengenai akses kepada senjata api, tahap keselamatan di institusi pendidikan serta keperluan memperkukuh sokongan kesihatan mental susulan beberapa siri kejadian tembakan di sekolah sebelum ini. - Getaran, 7 Ogos 2026





