
BESUT: Kegagalan mempamerkan tanda harga pada barangan yang dijual adalah antara lima kesalahan dikesan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu dalam operasi penguatkuasaan bersepadu di Pulau Perhentian, di sini.
Pengarahnya, Mohd. Mufsi Lat berkata, peniaga memberikan alasan mereka tidak sempat meletakkan tanda harga selain harga bagi sesetengah barangan berubah dari semasa ke semasa.
“Bagaimanapun, alasan ini tidak mengubah hakikat bahawa tanda harga perlu dipamerkan. Walaupun harga berubah mengikut keadaan pasaran, peniaga tetap perlu meletakkan dan mempamerkan tanda harga,” katanya semasa operasi berkenaan.
Menurut Mohd. Mufsi, dalam operasi itu, sebanyak lima kesalahan di bawah akta yang dikuatkuasakan kementerian itu dikesan membabitkan jumlah kompaun RM1,800 hasil pemeriksaan di beberapa premis dan resort sekitar pulau berkenaan.
Menurutnya, antara kesalahan yang dikesan adalah berkaitan Akta Timbang dan Sukat 1972 serta Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
“Selain KPDN, operasi ini turut melibatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu, Majlis Daerah Besut (MDB) dan De’ Metrology yang masing-masing menjalankan penguatkuasaan mengikut bidang kuasa agensi. – UTUSAN
The post Peniaga Pulau Perhentian gagal pamer tanda harga appeared first on Utusan Malaysia.





