liza06/11/2026 - 15:07 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Nov – Frontken Corporation Bhd mencatatkan peningkatan keuntungan selepas cukai sebanyak 33% kepada RM160.85 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026 (9MFY2026), berbanding RM120.80 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Peningkatan itu disokong pertumbuhan hasil sebanyak 24% kepada RM557.76 juta daripada RM450.86 juta sebelumnya, hasil sumbangan lebih tinggi daripada operasi kumpulannya di Taiwan, Malaysia dan Singapura.
Keuntungan sebelum cukai turut meningkat 31% kepada RM212.04 juta berbanding RM161.43 juta, manakala keuntungan selepas cukai yang boleh diagihkan kepada pemegang saham syarikat naik 33% kepada RM147.33 juta daripada RM110.39 juta.
Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 (3QFY2026), kumpulan merekodkan keuntungan selepas cukai RM61.38 juta, meningkat 22% daripada RM50.14 juta dalam suku sama tahun sebelumnya.
Hasil suku ketiga turut meningkat 12% kepada RM181.04 juta berbanding RM161.87 juta, manakala keuntungan sebelum cukai naik 18% kepada RM76.94 juta daripada RM65.11 juta.
Permintaan semikonduktor Taiwan meningkat
Menurut Frontken, peningkatan hasil kumpulan bagi suku ketiga terutama disumbangkan oleh prestasi lebih baik anak syarikatnya di Taiwan, Malaysia dan Singapura.
“Hasil operasi anak syarikat di Malaysia meningkat 18% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, didorong sumbangan jualan lebih tinggi daripada aktiviti pembekalan dalam perniagaan minyak dan gas.
“Operasi Singapura pula mendapat manfaat daripada peningkatan keseluruhan jumlah aktiviti dalam sektor semikonduktor, manakala hasil anak syarikat di Taiwan meningkat 11%. Bagaimanapun, berdasarkan perbandingan pada asas mata wang dolar Taiwan baharu, pertumbuhan hasil operasi Taiwan adalah lebih tinggi pada 24%,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Frontken berkata peningkatan jumlah aktiviti dalam sektor semikonduktor di Taiwan didorong permintaan lebih tinggi serta tempahan kukuh daripada pelanggan.
Bagi tempoh sembilan bulan, hasil operasi Taiwan meningkat 10% tahun ke tahun, namun pertumbuhannya mencapai 21% apabila dinilai berdasarkan mata wang dolar Taiwan baharu.
Margin semikonduktor sokong keuntungan suku tahunan
Berbanding suku kedua FY2026, hasil kumpulan pada suku ketiga susut 3% kepada RM181.04 juta daripada RM186.91 juta disebabkan sumbangan jualan lebih rendah daripada aktiviti pembekalan perniagaan minyak dan gas di Malaysia.
Bagaimanapun, keuntungan selepas cukai meningkat 17% kepada RM61.38 juta berbanding RM52.46 juta pada suku sebelumnya, disokong sumbangan margin lebih tinggi daripada perniagaan semikonduktor.
Frontken menjelaskan peningkatan keuntungan selepas cukai bagi suku ketiga turut didorong prestasi lebih baik perniagaan teras kumpulan serta kawalan kos yang berkesan.
Permintaan AI dijangka sokong prospek semikonduktor
Mengulas prospek, Frontken menjangkakan tahap aktiviti dalam segmen semikonduktor kekal tinggi, disokong permintaan jangka panjang berkaitan kecerdasan buatan (AI), AI generatif, AI ejen, pengkomputeran berprestasi tinggi (HPC), elektronik automotif dan pembuatan termaju.
Kumpulan sedang meningkatkan keupayaan operasi serta melaksanakan pembesaran kapasiti secara terpilih bagi memanfaatkan peluang pertumbuhan dalam sektor berkenaan.
Dalam segmen minyak dan gas, aktiviti industri terus disokong keperluan terhadap kebolehpercayaan aset, penyelenggaraan dan kecekapan operasi, sekali gus mewujudkan peluang kepada penyedia perkhidmatan khusus.
Frontken mengekalkan prospek berhati-hati tetapi positif bagi baki 2026, disokong permintaan berterusan terhadap perkhidmatan kejuruteraan, penyelenggaraan dan sokongan aset.
Bagaimanapun, kumpulan terus memantau perkembangan geopolitik yang boleh mempengaruhi ketersediaan serta harga bahan mentah tertentu, selain memberi keutamaan kepada kecekapan operasi, pengembangan kapasiti terpilih dan pengurusan margin. - DagangNews.com






