
SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan memutuskan pengecualian pembayaran lesen penjaja Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) termasuk pengusaha trak makanan selama setahun bermula 1 Januari tahun depan.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri hari ini sebagai inisiatif membantu golongan penjaja berdepan peningkatan kos.
Bagaimanapun katanya, pengecualian itu hanya membabitkan bayaran lesen penjaja, manakala bayaran lain seperti permit dan caj kebersihan masih perlu dijelaskan.
“Pengecualian lesen penjaja ini ada syarat. Penjaja mestilah tidak menghalang lalu lintas, tidak menghalang laluan pejalan kaki dan mesti menjaga kebersihan tempat mereka berniaga.
“Walaupun ada pengecualian lesen, penjaja tetap perlu mematuhi syarat-syarat dan penguatkuasaan akan dikenakan sekiranya mereka melanggar peraturan,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri hari ini.
Ismail berkata, berdasarkan rekod tahun ini, seramai 7,386 penjaja di seluruh negeri itu bakal mendapat manfaat daripada pengecualian berkenaan.
Jumlah itu membabitkan 3,684 penjaja di Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Majlis Perbandaran Port Dickson (1,355), Majlis Perbandaran Jempol (459), Majlis Daerah Tampin (639), Majlis Daerah Kuala Pilah (610), Majlis Daerah Rembau (478) dan Majlis Daerah Jelebu (161).
“Memang ada implikasi kewangan kepada PBT, tetapi untuk memberi peluang kepada penjaja dalam keadaan kos minyak naik dan sebagainya, kita pertimbangkan untuk memberikan percuma bagi tahun depan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Ismail berkata, kerajaan negeri turut menangguhkan serta-merta pelaksanaan bayaran Fi Konservasi sebanyak RM3 bagi kemasukan ke Taman Eko Rimba di Negeri Sembilan.
Katanya, penangguhan itu termasuk membabitkan Taman Eko Rimba Ulu Bendul dan Taman Eko Rimba Lenggeng yang sebelum ini telah mula mengenakan bayaran tambahan berkenaan.
“Penangguhan ini kerana ada yang membuat aduan, pertama sekali sebab sekarang kita masih dalam tempoh Tahun Melawat Negeri Sembilan.
“Kenaikan ini juga dimulakan sewaktu cuti sekolah dan ramai keluarga masuk beriadah di kawasan Eko Rimba. Walaupun kanak-kanak tidak dikenakan bayaran, mereka masuk bersama ibu bapa yang dikenakan tambahan RM3,” katanya.
Ismail berkata, bayaran tambahan RM6 bagi pelawat asing turut ditangguhkan sehingga satu keputusan lain dibuat Kerajaan Negeri pada masa akan datang.
Sementara itu, mengenai isu bayaran balik peruntukan oleh wakil rakyat Pakatan Harapan (PH), beliau berkata, Pejabat Menteri Besar telah menghantar notis kepada semua wakil rakyat terbabit semalam untuk menuntut baki bayaran berkenaan.
Katanya, jumlah yang perlu dibayar adalah berbeza mengikut jumlah tunggakan setiap wakil rakyat dan mereka diberikan tempoh 30 hari untuk membuat bayaran balik kepada Kerajaan Negeri.
“Surat sudah dihantar kepada semua petang semalam. Mereka mesti bayar dalam masa 30 hari dan akan ada tindakan susulan sekiranya gagal berbuat demikian,” katanya.
Dalam pada itu, ketika sama ada beliau ada bertemu wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH, J.Arul Kumar bagi membincangkan isu bayaran balik peruntukan, Ismail berkata beliau hanya terjumpa wakil rakyat itu ketika sesi raptai Hari Kebangsaan Ke-69 Peringkat Negeri Sembilan di padang MBS.
“Terjumpa masa di padang semasa sesi raptai itu ada. Beliau ada minta pertimbangkan beberapa perkara, termasuk bayaran balik ini (peruntukkan),” katanya. – UTUSAN
The post Penjaja Negeri Sembilan dikecualikan bayaran lesen appeared first on Utusan Malaysia.






