
SEREMBAN: Lebih 30,000 hadir memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 Peringkat Negeri Sembilan di Padang Majlis Bandaraya Seremban (MBS), di sini hari ini.
Sambutan disertai lebih 4,000 peserta membabitkan 82 kontinjen terdiri daripada jabatan dan agensi kerajaan, badan berkanun, pentadbiran daerah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sekolah, institusi pengajian tinggi serta syarikat swasta.
Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan berangkat ke sambutan berkenaan.
Keberangkatan tiba baginda kira-kira pukul 8.20 pagi diiringi Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud dan disambut Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim serta Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Zafir Ibrahim.
Sambutan dimulakan dengan Istiadat Kawalan Kehormatan Utama (KKU) membabitkan tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat daripada Batalion Ke-15, Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Kem Senawang yang diketuai oleh Mejar Dr Muhammad Hazim Abd Qhalib.
Istiadat berkenaan diiringi pancaragam gabungan daripada Batalion Ke-15 RAMD dan Brass Band Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di bawah pimpinan Drum Major 24 Rejimen Askar Melayu Diraja.
Acara diteruskan dengan bacaan ikrar Rukun Negara yang diketuai Ismail, manakala bacaan doa disempurnakan Mufti Negeri Sembilan, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Faudzinaim Badaruddin.
Sementara itu, Ismail berkata, jumlah kontinjen dan aset dalam sambutan kali ini terpaksa dikurangkan pada saat akhir susulan keadaan jerebu yang melanda negeri itu baru-baru ini.
“Kami khuatir sekiranya orang ramai dan kontinjen terdedah lebih lama dalam keadaan jerebu. Jadi, sebab itu kami kurangkan,(jumlah kontinjen dan aset). Alhamdulillah hari ini bacaan jerebu pun okay, cuaca pun baik ,” katanya.
Beliau dalam pada itu berkata, kehadiran orang ramai seawal pukul 5.30 pagi membuktikan mereka bersungguh-sungguh untuk bersama-sama meraikan Hari Kebangsaan.
“Kehadiran itu sendiri sudah cukup untuk menunjukkan mereka bersemangat menyambut Hari Kemerdekaan negara. Saya tanya tadi, ada yang sampai seawal 5.30 pagi dan 6 pagi.
“Maknanya, mereka betul-betul mahu hadir ke majlis ini untuk bersama-sama meraikan Hari Kemerdekaan negara kita,” katanya. – UTUSAN
The post Lebih 30,000 hadir sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sembilan appeared first on Utusan Malaysia.






