
KUALA LUMPUR – Pengalaman hidup di sebalik tirai besi meninggalkan kesan mendalam buat penyanyi dan komposer Yasin Sulaiman yang menyifatkan penjara sebagai tempat menakutkan selain menggambarkannya sebagai ‘kotor, ganas dan hina’.
Malah, Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman, 51, turut mendedahkan pengalaman hitamnya setiap kali menjalani pemeriksaan keselamatan apabila dibogelkan dan diarahkan melakukan ketuk ketampi.
“Penjara adalah tempat yang teruk, kotor, ganas dan hina. Setiap kali ada pemeriksaan keselamatan, kami akan dibogelkan, diarah melakukan ketuk ketampi.
“Nasihat saya, janganlah masuk penjara kerana ia tempat paling tak menyeronokkan,” katanya ketika ditemui pada pementasan teater muzikal Mansur dan Liu arahan Datuk M. Nasir di Istana Budaya, kelmarin.
Ia merupakan kemunculan pertama penyanyi Mimpi Laila itu selepas dibebaskan dari Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak pada 2 September lalu.
Berkongsi pengalaman hidupnya yang pernah putus harapan ketika berada di dalam penjara, Yasin berkata, dia berada pada titik paling gelap selepas dijatuhkan hukuman penjara 30 tahun oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor pada 22 Ogos 2024.
Luahnya, saat itu dia membayangkan kehidupannya bakal berakhir di sebalik tirai besi berkenaan.
“Saya dijatuhkan hukuman 30 tahun penjara dan jika itu menjadi kenyataan, saya berada dalam penjara sehingga umur 80 tahun. Itu pun kalau panjang umur, jika tidak, mungkin meninggal dunia dalam penjara.
“Ketika itu memang hilang harapan kerana merasakan semuanya sudah berakhir. Sepanjang berada di Penjara Kajang, saya dekatkan diri pada Tuhan. Keadaan sangat teruk dan ketika itu, saya rasa tak ada jalan keluar dah,” ujarnya.
Pelantun lagu Salsabila itu melahirkan rasa syukur apabila dibebaskan selepas melalui proses perundangan dan rawatan selama kira-kira empat tahun setengah termasuk di Hospital Bahagia.
Katanya, pembebasannya dilakukan mengikut prosedur ditetapkan setelah pihak hospital berpuas hati dengan perkembangan rawatan serta tahap kestabilan kesihatan saya.
“Alhamdulillah, sudah genap seminggu saya bebas dari Hospital Bahagia Ulu Kinta. Sebelum itu, perjalanan yang saya lalui sangat berliku. Saya masuk Penjara Sungai Buloh, kemudian hospital, lepas itu Penjara Kajang, masuk hospital balik.
“Seiring dengan Hari Kemerdekaan negara, Sultan Selangor perkenan dan menandatangani perintah pembebasan saya. Bukan pembebasan awal, saya mengikut prosedur dan tidak ada jalan mudah,” katanya.

Penyanyi itu memberitahu, dia kini bergantung kepada beberapa jenis ubat yang perlu diambil sepanjang hayat.
“Syarat-syarat untuk keluar daripada Hospital Bahagia ada dua. Pertama, tak boleh tinggalkan ubat sehingga penghujung hayat dan kedua, tidak boleh terlibat dengan ganja lagi,” ujarnya.
Berkongsi tentang perkembangannya ketika ini, komposer itu berkata, dia kini mahu menurunkan berat badan dengan mengamalkan diet pemakanan.
“Sekarang ini saya tengah diet. Dulu berat saya 65 kilogram (kg), selepas masuk penjara turun sehingga 48kg, sudah macam orang Somalia. Kemudian masuk Hospital Bahagia, mereka beri ubat dan berat badan bertambah sehingga 80kg.
“Namun ketika ini 77kg dan mahu kurangkan sehingga mencapai 60kg pula,” katanya yang bakal menerbitkan autobiografi 400 muka surat tentang perjalanan hidupnya dalam tempoh terdekat.
‘Pembebasan ini sudah cukup buat saya rasa kenyang’
Beroleh peluang kedua sejak seminggu lalu, Yasin Sulaiman mengaku sedang menikmati fasa bebas dengan penuh semangat dan gembira.
Penyanyi itu mengakui sangat merindukan kebebasan seperti individu lain sepanjang menjalani tempoh hukuman di penjara dan menerima rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.
Yasin berkata, terlalu banyak perkara yang dirancang dan dilakukannya sepanjang menjalani tempoh hukuman termasuk menghasilkan lagu serta aubiografinya.
“Saya sangat rindukan kebebasan dan sekarang baru seminggu dibebaskan selepas lebih empat tahun di dalam penjara. Tempoh yang sangat panjang.
“Sepanjang tempoh dipenjara, saya banyak cipta lagu, tambahan pula di dalam itu suasananya sunyi, sepi. Insya-Allah akan dihasilkan satu persatu dan minggu depan mungkin akan ada sidang media,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Mengakui pernah hilang harapan selepas dijatuhkan hukuman penjara selama 30 tahun dan sebatan, Yasin berkata, dia memanfaatkan tempoh berada di sebalik tirai besi memberinya peluang lebih dekat dengan Tuhan.
“Saya memang hilang harapan. Sepanjang menjalani tempoh hukuman di Penjara Kajang, saya banyak berdoa, baca al-Quran dan kuat sembahyang.
“Banyak dekatkan diri pada Ilahi sebab situasi di situ memang teruk,” katanya yang kerjaya seninya ketika ini diuruskan oleh Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang.
Ditemui pada pementasan teater muzikal Mansur dan Liu di Istana Budaya, dia bersyukur pembebasannya memberi peluang untuk hadir menonton karya arahan maestro muzik, Datuk M Nasir.
“Saya memang sangat meminati M. Nasir dan karya-karyanya. Dia idola saya dalam bidang seni sejak dahulu. Sepanjang menonton Mansur dan Liu, hasilnya hebat dan menghiburkan. Karya yang sangat bagus,” ujarnya.
Ditanya mengenai antara makanan yang ingin dinikmati selepas dibebaskan sejak 2 September lalu, Yasin memberitahu, dia hanya mahu menurunkan berat badan sahaja ketika ini.
“Selepas bebas, abang saya tanya nak makan apa tetapi saya tiada jawapan. Bebas ini pun sudah buat saya rasa kenyang cuma sekarang nak diet turunkan berat badan,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE
The post ‘Penjara tempat teruk, kotor, ganas dan hina’ appeared first on Kosmo Online.






