Penjualan tanah Bukit Kerayong tidak jejas operasi perladangan SD Guthrie, hanya libatkan 0.2% kawasan tanaman – BIMB Securities

LocalBusiness & Finance
30 Oct 2026 • 9:14 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Penjualan tanah Bukit Kerayong tidak jejas operasi perladangan SD Guthrie, hanya libatkan 0.2% kawasan tanaman – BIMB Securities Image from: Penjualan tanah Bukit Kerayong tidak jejas operasi perladangan SD Guthrie, hanya libatkan 0.2% kawasan tanaman – BIMB Securities liza30/10/2026 - 09:14 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 30 Okt – Cadangan penjualan tanah kelapa sawit milik SD Guthrie Berhad di Bukit Kerayong, Klang tidak memberi kesan ketara kepada operasi perladangan kumpulan itu memandangkan kawasan berkenaan hanya mewakili 0.2% daripada keseluruhan kawasan tanaman kelapa sawitnya di Malaysia.

 

Menurut BIMB Securities Research, tanah seluas 594.02 hektar yang ditanam dengan kelapa sawit itu hanya menyumbang 0.14% kepada jumlah pengeluaran buah tandan segar (BTS) kumpulan pada tahun kewangan 2025 (FY2025).

 

“Kawasan berkenaan mencatatkan pengeluaran sebanyak 12,315 tan BTS sepanjang FY2025. Oleh itu penjualan tanah tersebut dijangka tidak menjejaskan operasi perladangan huluan SD Guthrie secara ketara.

 

“Sebaliknya, kami melihat transaksi itu sebagai langkah untuk membuka nilai pembangunan tanah berkenaan melalui penggunaan bagi aktiviti perindustrian, selain membolehkan SD Guthrie terus menikmati manfaat daripada pembangunan masa depan menerusi pegangan ekuiti dalam syarikat usaha sama,” kata firma tersebut dalam nota kajiannya.

 

Penjualan tanah bernilai RM933.57 juta

SD Guthrie mengumumkan perjanjian usaha sama dengan YTL Power International Berhad dan Bumi Assets bagi membangunkan tanah pegangan bebas seluas 657.09 hektar (1,623 ekar) di Estet Bukit Kerayong.

 

Menerusi cadangan itu, tanah berkenaan akan dijual kepada Bukit Kerayong Industrial Developments (BKID) pada harga RM933.57 juta atau RM13.20 sekaki persegi, dengan penyelesaian transaksi disasarkan pada suku pertama 2027, tertakluk kepada pemenuhan syarat terdahulu.

 

SD Guthrie akan memegang 30% kepentingan dalam BKID, manakala YTL Power dan Bumi Assets masing-masing memiliki 35%.

 

Dari segi nilai transaksi, BIMB Securities menyifatkan harga jualan RM13.20 sekaki persegi sebagai munasabah memandangkan ia 5% melebihi penilaian bebas CBRE WTW sebanyak RM889 juta bertarikh 16 April 2026.

 

Harga jualan itu juga bersamaan kira-kira 15.6 kali ganda berbanding nilai buku bersih tanah berkenaan sebanyak RM60.03 juta atau sekitar RM0.85 sekaki persegi pada akhir FY2025.

 

Transaksi itu dijangka menjana keuntungan terkumpul sebanyak RM586.3 juta kepada SD Guthrie, bersamaan 8.48 sen bagi setiap saham.

 

Daripada hasil jualan RM933.57 juta itu, sebanyak RM744.4 juta dicadangkan untuk pembayaran balik hutang, RM88.1 juta bagi cukai dan RM101.1 juta untuk pelaburan awal dalam usaha sama.

 

BIMB Securities menganggarkan nisbah gearing kasar SD Guthrie akan berkurangan daripada 0.39 kali kepada kira-kira 0.35 kali selepas mengambil kira pembayaran hutang dan pengiktirafan keuntungan transaksi berkenaan.

 

Kekalkan pegangan untuk manfaat pembangunan masa depan

Menurut firma penyelidikan itu, pengekalan 30% kepentingan dalam BKID membolehkan SD Guthrie terus mendapat pendedahan kepada potensi keuntungan pembangunan perindustrian pada masa depan, selain keuntungan daripada penjualan tanah.

 

Bagaimanapun, sumbangan pendapatan daripada usaha sama itu masih belum dapat dianggarkan berikutan ketiadaan maklumat terperinci mengenai GDV, kos pembangunan dan pelaksanaan projek.

 

BIMB Securities berkata, transaksi itu turut menyokong sasaran pengurusan SD Guthrie untuk menjana pendapatan tahunan antara RM500 juta hingga RM700 juta daripada segmen perniagaan Pembangunan Perindustrian.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran pendapatan SD Guthrie bagi FY2026 dan FY2027, masing-masing pada RM2.65 bilion dan RM2.72 bilion dari segi keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI).

 

BIMB Securities turut mengekalkan saranan 'Beli' terhadap saham SD Guthrie dengan harga sasaran RM7.50, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) 19 kali ganda dan unjuran pendapatan sesaham (EPS) sebanyak 39.4 sen bagi FY2027. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved