
BESUT – Seorang pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) ditemui meninggal dunia di dalam rumahnya di Kampung Gelam Mas, Keluang di sini hari ini.
Mangsa, Tajul Afif Abdullah, 49, yang merupakan pensyarah Fakulti Biosumber dan Industri Makanan UniSZA ditemui bersendirian oleh pasukan keselamatan kira-kira pukul 9.38 pagi.
Difahamkan, lelaki yang berasal dari Gombak, Selangor itu tidak kelihatan keluar dari rumah sejak Khamis lalu sebelum orang awam mengesan bau busuk dari kediamannya.
Aduan bau busuk
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Rozaime Ab. Rahim berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang awam yang terhidu bau busuk dari rumah mangsa sebelum sepasukan anggota dihantar ke lokasi.
Menurut beliau, pemeriksaan di dalam rumah tersebut menemui mayat mangsa yang dipercayai telah meninggal dunia beberapa hari sebelum ditemui.
“Hasil bedah siasat yang dijalankan di Unit Forensik Hospital Besut mengesahkan punca kematian adalah Coronary Artery Atherosclerosis iaitu penyakit jantung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, kes tersebut diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. – The Malaysian Update
The post Pensyarah UniSZA Ditemui Meninggal Dunia Di Rumah appeared first on The Malaysian Update.



