PUTRAJAYA – Pensyarah Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr. Norliza Jamaluddin, diumum sebagai penerima Anugerah Akademik Terbaik Bahasa Melayu 2025.
Beliau membawa pulang cek cura bernilai RM30,000, trofi dan sijil yang disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pada Majlis Anugerah Akademik Bahasa Melayu anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang berlangsung di Dewan Za’ba, KPT di sini, hari ini.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, Profesor Dr. Suriani Abu Bakar, berkata kejayaan itu membuktikan komitmen UPSI dalam melahirkan sarjana yang bukan sahaja unggul dalam bidang akademik, tetapi juga memainkan peranan penting dalam memperkukuh kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
“Penganugerahan ini adalah satu pengiktirafan besar kepada UPSI sebagai universiti pendidikan terunggul negara.
“UPSI berbangga dengan pencapaian ini. Ia membuktikan usaha berterusan universiti dalam memperkukuh penyelidikan dan penerbitan berimpak tinggi menggunakan Bahasa Melayu, seiring dengan peranan kami sebagai peneraju pendidikan negara.
“Kejayaan Dr. Norliza menjadi inspirasi kepada warga akademia lain untuk terus menghasilkan penyelidikan dan penerbitan berimpak tinggi dalam Bahasa Melayu,” ujar beliau.
Sementara itu, Dekan FBK, Profesor Madya Dr. Mazura @ Mastura Muhammad, turut menyifatkan kejayaan tersebut adalah sebagai hasil dedikasi dan usaha berterusan Dr. Norliza dalam memperkasakan bidang linguistik dan pendidikan bahasa.
“Beliau bukan sahaja seorang pendidik yang berwibawa, malah aktif dalam penyelidikan dan penerbitan yang mengangkat martabat Bahasa Melayu di peringkat global.
“Pencapaian ini menyerlahkan keunggulan FBK sebagai pusat kecemerlangan bahasa dan komunikasi.
“Beliau menjadi contoh teladan kepada pensyarah lain di FBK, bukan sahaja dari segi kecemerlangan akademik tetapi juga semangat memperjuangkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang progresif,” katanya.
Majlis Anugerah Akademik Bahasa Melayu anjuran KPT itu diadakan bagi mengiktiraf tokoh, ahli akademik, penyelidik dan institusi pengajian tinggi yang telah memainkan peranan penting dalam memperkukuh serta memartabatkan Bahasa Melayu di persada nasional dan antarabangsa.
Bazli Razak (bazli.razak@upsi.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.
.jpg)



