Ng Zhen Fan Shankar Dari UPSI Dinobat Tokoh Siswa Negara 2025

4 Oct 2025 • 3:00 PM MYT
Bazli Razak
Bazli Razak

Media Officer, Corporate Comm Division, Sultan Idris Edu University (UPSI).

Image from: Ng Zhen Fan Shankar Dari UPSI Dinobat Tokoh Siswa Negara 2025
Tokoh Siswa Negara 2025, Ng Zhen Fan Shankar dari UPSI. Photo credit: Fisol Ahmad

PUTRAJAYA – Mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Ng Zhen Fan Shankar, mengharumkan nama universiti apabila dinobatkan sebagai Tokoh Siswa Negara 2025 pada Majlis Anugerah Tokoh Siswa Negara (ATSN) yang berlangsung di Hotel Marriott Putrajaya, malam tadi.

Penganugerahan tertinggi itu disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, yang menyerahkan hadiah berupa replika cek RM5,000, geran mobiliti, trofi dan sijil kepada Ng Zhen.

Berasal dari Klang, Selangor, Shankar baru sahaja menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian di UPSI dan akan meneruskan pengajian ke peringkat sarjana (master) dalam bidang berkaitan.

Ng Zhen dikenali sebagai mahasiswa aktif dalam kepimpinan dan kesukarelawanan. Beliau pernah berkhidmat selama dua sidang sebagai Majlis Perwakilan Pelajar UPSI, memegang jawatan sebagai Bendahari Kehormat, selain turut dipilih sebagai Yang Dipertua Persatuan Fakulti Pengurusan dan Ekonomi UPSI.

Kepimpinan beliau turut menyerlah di peringkat antarabangsa melalui aktiviti kesukarelawan dan penyertaan dalam pengucapan awam di luar negara.

Majlis berprestij anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu meraikan mahasiswa cemerlang melalui 13 kategori, merangkumi kelestarian, perpaduan, inklusif, khidmat komuniti, sukarelawan, inovasi, bicara siswa, sukan rekreasi, usahawan, seni warisan, kepimpinan serta dua kategori tertinggi iaitu Anugerah Sinergi Kepimpinan Siswa dan Anugerah Tokoh Siswa Negara.

Selain Ng Zhen, seorang lagi mahasiswa UPSI, Abbas Ali Iftikhar Hussain, turut melakar kejayaan apabila menerima Anugerah Tokoh Kelestarian Siswa, sekali gus memperkukuh reputasi UPSI di pentas kebangsaan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, penganjuran program seumpama itu bukan sahaja merangsang bakat mahasiswa, malah mengiktiraf kepimpinan mereka di peringkat kampus.

“Dengan adanya program seperti ini, kita memberi pengiktirafan kepada mereka dan saya yakin universiti, politeknik serta kolej komuniti akan terus menganjurkan program kepimpinan di kampus masing-masing.

“Di situlah daya kepimpinan dapat dibina sekali gus menyerlahkan potensi mahasiswa dan mahasiswi,” ujar beliau.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, menyifatkan kejayaan tersebut sebagai bukti kepimpinan mahasiswa UPSI terus menyerlah di peringkat nasional.

“UPSI sentiasa menyediakan ruang untuk mahasiswa menggilap potensi diri melalui kepimpinan, kokurikulum dan kesukarelawanan. Kejayaan ini menjadi inspirasi kepada seluruh warga kampus untuk terus menyumbang kepada masyarakat dan negara,” ujarnya.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud; Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Aneese Ibrahim; dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof Dr. Azlinda Azman.


Bazli Razak (bazli.razak@upsi.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.