Jual sijil cuti sakit palsu: Dua lelaki dipenjara 14 hari, denda RM8,000

12 Aug 2026 • 3:57 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Jual sijil cuti sakit palsu: Dua lelaki dipenjara 14 hari, denda RM8,000

KUANTAN – Dua lelaki masing-masing dijatuhkan hukuman penjara selama 14 hari dan denda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret Kuantan selepas didapati bersalah menjual sijil cuti sakit palsu pada bulan lalu.

Tertuduh, Mohd Shukrie Zainuddin, 28, dan Muhammad Asyraf Zunaidy, 31, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Elyna Othman.

Mengikut pertuduhan yang dibaca bersama, kedua-dua tertuduh secara tidak jujur membuat dokumen palsu iaitu 40 keping sijil cuti sakit menggunakan nama sebuah klinik dan tandatangan seorang doktor di klinik terbabit dalam tempoh 28 Mac sehingga 13 Julai 2026 dengan niat untuk menipu.

Kedua mereka didakwa mengikut Seksyen 465 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, B.Deevagaran Naidu manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Dalam prosiding Deevagaran Naidu meminta mahkamah mengenakan hukuman setimpal memandangkan kesalahan tertuduh telah menjejaskan reputasi dan nama baik klinik serta doktor terbabit selain mendatangkan kerugian kepada pihak kilang.

Mahkamah kemudiannya menetapkan hukuman penjara 14 hari dari tarikh tangkapan serta denda RM8,000 terhadap setiap tertuduh.

Berdasarkan fakta kes, laporan polis telah dibuat oleh pihak kilang dan klinik berkenaan selepas mengesan sijil cuti sakit palsu digunakan pekerja kilang berkenaan.

Susulan daripada laporan berkenaan, pihak polis telah menjalankan siasatan dan mendapati sebanyak 40 keping sijil cuti sakit membabitkan 17 pekerja disahkan palsu oleh pihak klinik.

Semakan terhadap pekerja yang menggunakan dokumen berkenaan mendapati semua dokumen palsu itu dijual oleh seorang daripada tertuduh.

Polis kemudian menahan kedua lelaki berkenaan pada 5 Ogos lalu dan turut merampas satu cop palsu selain 24 keping sijil cuti sakit palsu atas nama klinik sama dengan pelbagai nombor siri yang masih dalam proses pemalsuan. – KOSMO! ONLINE

The post Jual sijil cuti sakit palsu: Dua lelaki dipenjara 14 hari, denda RM8,000 appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved