amree12/11/2026 - 15:02 SUASANA Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China di Kuala Lumpur pada 2025. - Foto kredit Pejabat Perdana Menteri Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 12 Nov — Kerjasama ekonomi yang melibatkan ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China berpotensi diperluas, namun cadangan penubuhan majlis perniagaan melibatkan tiga rantau itu masih belum dimuktamadkan, menurut Timbalan Menteri Luar, Datuk Lukanisman Awang Sauni.
Beliau berkata, saranan pembentukan ASEAN-GCC-China Business Council itu masih lagi dalam proses perbincangan dengan teliti dan boleh dibawa kepada kementerian yang berkaitan sekiranya pertemuan antara ketiga-tiga pihak dapat diadakan sekali lagi pada masa depan.
Ujarnya, kenyataan bersama yang diterima pakai pada Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang pertama di Kuala Lumpur pada Mei 2025 menyediakan kerangka untuk memperkukuh kerjasama ekonomi, khususnya dalam perdagangan, pelaburan dan industri berpotensi tinggi termasuk halal.
"Kementerian Luar turut memasukkan aspek diplomasi halal dalam usaha penglibatan ekonomi negara bagi mempromosikan produk dan perkhidmatan Malaysia di pasaran antarabangsa melalui rangkaian diplomat negara," kata Lukanisman di Dewan Rakyat pada Khamis.
Bagaimanapun, beliau menambah, belum terdapat persetujuan dalam kalangan negara anggota ASEAN untuk menganjurkan sidang kemuncak ASEAN-GCC-China kali kedua. Tiga entiti itu mewakili gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS$25 trilion serta 2.16 bilion penduduk
Jelas beliau menjawab soalan Dr Halimah Ali (PN-Kapar) dan Tan Kok Wai (PH-Cheras), sidang kemuncak sulung yang dianjurkan Malaysia pada Mei 2025 itu secara asalnya hanya dipersetujui sebagai acara sekali sahaja diadakan oleh semua negara anggota ASEAN.

Walaupun tiada persetujuan untuk dianjurkan sidang kemuncak yang seterusnya pula, kerjasama antara ketiga-tiga rantau terutama dalam bidang ekonomi, akan diteruskan melalui pelbagai mekanisme sedia ada termasuk melibatkan hubungan ASEAN-China dan ASEAN-GCC.
"Sidang kemuncak sulung itu namun menghasilkan kenyataan bersama yang menggariskan kerjasama semua pihak terlibat dalam bidang perdagangan, pelaburan, tenaga, teknologi, kesalinghubungan serta pertumbuhan secara inklusif dan mampan," kata Lukanisman.
Kerjasama berkenaan ujar beliau, turut bertujuan memperkukuh sistem perdagangan global yang terbuka dan berasaskan peraturan, selain meningkatkan lagi aspek daya tahan rantaian bekalan serantau dalam mengharungi ketidaktentuan geopolitik semasa.
Tambah beliau, kekuatan ekonomi menerusi gabungan ASEAN, GCC dan China turut membuka peluang besar untuk Malaysia dapat memperluas kerjasama dalam bidang keselamatan tenaga serta memperkukuh daya tahan rantaian bekalan tenaga serantau.
Malaysia juga berharap kepengerusian ASEAN pada masa depan dapat meneruskan inisiatif memperkukuh hubungan blok rantau Asia Tenggara dengan GCC dan China, selain meneroka peluang kerjasama lebih luas dengan negara-negara Asia lain. - DagangNews.com





