
PETALING JAYA – Penumpang perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) bagi laluan tertentu yang menghubungkan sektor utara dan selatan perlu membuat pertukaran tren di KL Sentral berikutan penyusunan semula jadual perjalanan mulai 1 Januari 2027.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kenyataan memaklumkan, perjalanan terus dari JB Sentral ke Butterworth dan Padang Besar, termasuk perjalanan arah bertentangan, tidak lagi ditawarkan menggunakan tren yang sama.
Selain itu, katanya, perjalanan dari Butterworth ke Segamat dan arah bertentangan turut terlibat dalam penyusunan semula tersebut.
“Penumpang bagi laluan berkenaan perlu membuat pertukaran tren di KL Sentral sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing,” jelas kenyataan itu.
Menurut KTMB, pembelian tiket bagi perjalanan yang memerlukan pertukaran tren di KL Sentral perlu dibuat menerusi dua transaksi berasingan mengikut sektor perjalanan.
Bagaimanapun, KTMB sedang menambah baik sistem tempahan bagi membolehkan pembelian tiket secara bersepadu menerusi satu transaksi mulai Disember ini.
Dalam perkembangan berkaitan, KTMB akan meningkatkan kekerapan perkhidmatan ETS daripada 44 perkhidmatan berjadual sehari pada tahun ini kepada 50 perkhidmatan sehari dari Isnin hingga Khamis dan 58 perkhidmatan sehari dari Jumaat hingga Ahad pada 2027.
Peningkatan sehingga 14 perkhidmatan berjadual sehari itu turut melibatkan laluan utama JB Sentral–KL Sentral–JB Sentral, yang akan menyaksikan pertambahan kekerapan daripada lapan kepada 12 perkhidmatan berjadual sehari.
“Langkah ini dijangka memberi lebih banyak pilihan jadual perjalanan kepada penumpang, khususnya bagi memenuhi permintaan perjalanan pada hujung minggu dan musim puncak,” katanya.
Selain itu, jelas KTMB, Stesen Kuala Lumpur Lama dan Stesen Subang Jaya akan diperkenalkan sebagai hab tambahan ETS.
Katanya, ia bertujuan memperluaskan akses perkhidmatan rel serta mengurangkan tumpuan penumpang di KL Sentral, terutama pada waktu puncak dan musim perjalanan sibuk. – KOSMO! ONLINE
The post Penumpang ETS perlu tukar tren di KL Sentral mulai Januari appeared first on Kosmo Online.






