KTMB Rombak Jadual ETS, Tiada Lagi Perjalanan Terus Dari JB Ke Butterworth Dan Padang Besar

29 Oct 2026 • 4:31 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

KTMB Rombak Jadual ETS, Tiada Lagi Perjalanan Terus Dari JB Ke Butterworth Dan Padang Besar

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengumumkan bahawa perjalanan terus dari JB Sentral ke Butterworth dan Padang Besar, serta perjalanan sebaliknya, tidak lagi ditawarkan menggunakan tren yang sama sepanjang perjalanan bermula 1 Januari 2027.

Perubahan itu turut melibatkan perjalanan dari Butterworth ke Segamat dan perjalanan sebaliknya.

KTMB akan melaksanakan penyusunan semula jadual perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) yang melibatkan beberapa laluan jarak jauh, khususnya laluan yang menghubungkan destinasi di sektor utara dan selatan rangkaian ETS.

"Buat masa ini, pembelian tiket bagi perkhidmatan ETS jarak jauh yang melibatkan pertukaran tren di KL Sentral perlu dilakukan melalui dua transaksi berasingan mengikut sektor perjalanan.

"Walau bagaimanapun, KTMB sedang melaksanakan penambahbaikan terhadap sistem tempahan tiket bagi membolehkan pembelian tiket secara bersepadu melalui satu transaksi sahaja mulai Disember 2026," katanya dalam satu kenyataan.

Tiada Lagi Perjalanan Terus Dari JB Ke Butterworth

Dalam kenyataan sama, KTMB turut memaklumkan bahawa jualan tiket bagi perkhidmatan ETS dan Ekspres Rakyat Timuran (ERT) akan dibuka secara berperingkat mulai 2 November ini.

KTMB turut menawarkan sebanyak 1,573,872 tempat duduk bagi perjalanan dari Januari hingga Mac 2027, sekali gus menjadi jumlah penawaran tertinggi yang pernah disediakan bagi tempoh tiga bulan pertama tahun berkenaan.

"Daripada jumlah keseluruhan yang ditawarkan bagi Januari hingga Mac 2027, sebanyak 1,520,592 tempat duduk diperuntukkan bagi perkhidmatan ETS.

"Manakala, sebanyak 53,280 tempat duduk diperuntukkan bagi perkhidmatan ERT, menjadikan jumlah keseluruhan penawaran sebanyak 1,573,872 tempat duduk.

"Peningkatan kapasiti ini mencerminkan usaha berterusan KTMB dalam menyediakan lebih banyak pilihan perjalanan bagi memenuhi keperluan pengguna perkhidmatan rel," jelas KTMB.

Baca juga:

Dalam pada itu, KTMB menjelaskan bahawa jualan tiket dibuka lebih awal bagi membolehkan orang ramai merancang perjalanan dengan lebih teratur, khususnya menjelang cuti persekolahan, cuti umum dan musim perayaan.

"Langkah ini turut memberikan fleksibiliti kepada penumpang untuk memilih tarikh dan waktu perjalanan mengikut keperluan masing-masing," katanya.

Jualan tiket akan dibuka pada jam 12 tengah hari, dengan tiket perjalanan ETS dan ERT bagi Januari serta Februari 2027 mula dijual pada 2 November, melibatkan sebanyak 1,035,385 tempat duduk.

Sementara itu, jualan tiket bagi perjalanan ETS dan ERT pada Mac 2027 akan dibuka pada 1 Disember, dengan kapasiti sebanyak 538,488 tempat duduk.

Image from: KTMB Rombak Jadual ETS, Tiada Lagi Perjalanan Terus Dari JB Ke Butterworth Dan Padang Besar

Seiring dengan peningkatan permintaan perjalanan, KTMB turut memperluas penawaran perkhidmatan ETS pada 2027 dengan meningkatkan kekerapan perjalanan berjadual setiap hari.

Kekerapan perkhidmatan akan ditingkatkan kepada 50 perjalanan berjadual sehari dari Isnin hingga Khamis dan 58 perjalanan sehari dari Jumaat hingga Ahad, berbanding 44 perjalanan berjadual sehari pada 2026.

Peningkatan sehingga 14 perjalanan berjadual sehari itu turut melibatkan laluan JB Sentral–KL Sentral–JB Sentral, yang akan menyaksikan pertambahan kekerapan daripada lapan kepada 12 perjalanan berjadual sehari.

"Langkah ini dijangka memberikan lebih banyak pilihan jadual perjalanan kepada penumpang, khususnya bagi memenuhi permintaan pada hujung minggu dan musim puncak," ujarnya.

Selain itu, Stesen Kuala Lumpur Lama dan Stesen Subang Jaya akan diperkenalkan sebagai hab tambahan bagi perkhidmatan ETS.

"Inisiatif ini bertujuan memperluas akses kepada perkhidmatan rel serta menyediakan pilihan stesen alternatif kepada penumpang, khususnya bagi membantu mengurangkan kesesakan di KL Sentral pada waktu puncak dan musim perayaan," jelasnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved