
PAPAR: Seorang penunggang motosikal maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta di Km 30 Lebuhraya Pan Borneo, laluan Papar-Beaufort, Isnin.
Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, mangsa berusia 54 tahun mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Papar, Supt Heryan Mohd Tahir, berkata siasatan awal mendapati kereta yang dipandu lelaki berusia 24 tahun bersama seorang penumpang itu sedang dalam perjalanan dari Kota Kinabalu menuju ke Beaufort.
Beliau berkata sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai memasuki laluan kereta berkenaan sehingga menyebabkan pertembungan antara kedua-dua kenderaan.
“Akibat perlanggaran itu, mangsa terjatuh ke jalan raya dan mengalami kecederaan parah di kepala. Dia disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Pemandu kereta dan penumpangnya tidak cedera.
Heryan berkata mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I di Kota Kinabalu untuk bedah siasat.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.
Sementara itu, Heryan mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berwaspada, khususnya ketika memasuki atau melintasi laluan lain.
“Penunggang motosikal dan pemandu kenderaan perlu sentiasa peka terhadap pergerakan trafik, menjaga jarak selamat dan mengelakkan tindakan berisiko yang tidak perlu.
“Ingat bahawa kecuaian walaupun sesaat boleh meragut nyawa dan membawa kesedihan berpanjangan kepada keluarga. Utamakan keselamatan agar setiap perjalanan berakhir dengan selamat,” katanya.






