
Kota Kinabalu: Seorang penunggang motosikal Grab berusia 29 tahun didakwa di Mahkamah Majistret pada Selasa atas pertuduhan mengedar dadah jenis syabu seberat 32,007.56 gram.
Tertuduh Daniel Darwis dihadapkan ke hadapan Majistret Marilyn Kelvin bagi menghadapi pertuduhan berkenaan.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan dibacakan kepadanya.
Mengikut pertuduhan, Daniel didakwa mengedar dadah berkenaan pada jam 8.30 malam, 21 Oktober lalu di belakang sebuah bangunan di Jalan Bundusan, Penampang.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 15 sebatan jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 21 Disember ini untuk sebutan semula kes.
Tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh kerana kesalahan yang dihadapinya tidak memperuntukkan hak untuk diikat jamin.
Timbalan Pendakwa Raya Ronnie Anthony mengendalikan pendakwaan manakala peguam Sharatha Masyaroh John Ridwan Lincon mewakili tertuduh.






