
JOHOR BAHRU – Seorang penyelia bengkel menarik nafas lega apabila dibebaskan daripada pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 213.74 gram oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas hampir enam tahun berada dalam tahanan.
Hakim Kan Weng Hin membuat keputusan itu terhadap Cheng Wen Pin, 43, pada akhir kes pembelaan selepas mendapati pihak pembelaan berjaya mematahkan anggapan statutori, sekali gus menyebabkan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes terhadap tertuduh melampaui keraguan munasabah.
Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan mengemukakan tujuh saksi manakala pihak pembelaan memanggil tiga saksi termasuk tertuduh sendiri.
Mengikut pertuduhan, Wen Pin didakwa mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 213.74 gram di sebuah rumah di Jalan Rumbia 68, Taman Daya, di sini kira-kira pukul 2 pagi pada 31 Oktober 2020.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama.
Bapa kepada seorang anak itu ditangkap pada 31 Oktober 2020 sebelum didakwa di mahkamah pada 10 November tahun sama.
Dalam prosiding berkenaan, pihak pendakwaan turut membangkitkan isu pembukaan peti besi menggunakan cap jari. Bagaimanapun, pihak pembelaan mempertikaikan perkara itu dengan menyatakan ia tidak munasabah.
Namun, isu berkenaan tidak dinyatakan secara khusus oleh hakim ketika menyampaikan keputusan pembebasan tertuduh.
Sebaliknya, hakim memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes terhadap Wen Pin melampaui keraguan munasabah, sekali gus membebaskannya daripada pertuduhan tersebut.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Umar Faiz Abdul Kohar manakala tertuduh diwakili peguam Matthews Jude dan Muhammad Farhan Ahmad Fadzil.-KOSMO! ONLINE
The post Penyelia bengkel bebas tuduhan edar syabu appeared first on Kosmo Online.






