
SUNGAI BULOH – Penunggang motosikal yang dipercayai melanggar seorang pelajar ketika melintas jalan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Utama 1, di sini, kelmarin, telah ditahan polis.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd. Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 10.02 pagi semalam.
Menurut beliau, kemalangan dipercayai berlaku kira-kira pukul 11.36 pagi pada Isnin lalu di Jalan Persiaran Saujana 4, di sini.
“Ketika kejadian, penunggang motosikal berkenaan dipercayai dalam perjalanan menghantar pesanan makanan ke Puncak Alam sebelum melanggar seorang pelajar yang sedang melintas jalan.
“Susulan kejadian, penunggang motosikal berkenaan telah ditahan untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Hafiz berkata, penunggan dan pelajar berkenaan mengalami kecederaan ringan serta telah dibawa ke Sunway Medical Centre Kota Damansara untuk mendapatkan rawatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Nizam Othman di talian 017-625 4779 atau Bilik Gerakan IPD Sungai Buloh di talian 03-6156 1222. – KOSMO! ONLINE
The post Penunggang motosikal langgar pelajar lintas jalan ditahan appeared first on Kosmo Online.






