Kematian pelajar 14 tahun: Lima pelajar tampil dakwa pernah dibuli

30 Sep 2026 • 2:33 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kematian pelajar 14 tahun: Lima pelajar tampil dakwa pernah dibuli
Alzafny. Foto Bernama

SEREMBAN - Sebanyak lima pelajar tampil kepada pihak polis dan mendakwa pernah dibuli oleh seorang daripada dua pelajar yang ditahan bagi membantu siasatan kes kematian seorang pelajar lelaki Tingkatan Dua di Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada Jumaat lepas.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, perkara itu didedahkan melalui siasatan lanjut yang dijalankan pihaknya terhadap 69 keterangan yang direkodkan setakat ini.

"Hasil soal siasat dan ketika keterangan diambil, sebanyak lima pelajar mendakwa pernah dibuli oleh seorang daripada pelajar yang ditahan bagi membantu (siasatan) insiden tersebut.

"Setakat ini tiada tangkapan baharu dibuat selain dua lelaki berusia 16 tahun yang kini direman masing-masing sehingga 1 dan 3 Oktober bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya kepada pemberita menerusi aplikasi Whatsapp pada Rabu.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati mangsa tidak pernah memaklumkan kepada keluarganya bahawa pernah dibuli di sekolah.

Semalam, media melaporkan Alzafny berkata, pihaknya telah menahan seorang lagi pelajar lelaki berusia 16 tahun, menjadikan sehingga kini dua yang ditahan bagi membantu siasatan kes itu.

Sebelum itu, seorang pelajar Tingkatan Empat dilaporkan direman enam hari bagi membantu siasatan.

Alzafny sebelum ini dilaporkan berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai satu kejadian mendatangkan kecederaan terhadap pelajar Tingkatan Dua di sebuah sekolah di Kuala Pilah.

Mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah dan disahkan meninggal dunia.

Kes berkenaan masih lagi disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan siasatan menyeluruh masih dilakukan. - Bernama

 

 

 

 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved