
Polis tahan pemandu SUV bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 susulan kemalangan maut membabitkan motosikal di Kuantan.
KUANTAN: Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes kemalangan maut di Jalan Semambu di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Ashari Abu Samah berkata kemalangan kira-kira 8 pagi itu mengakibatkan seorang penunggang motosikal lelaki berusia 56 tahun cedera parah dan maut di lokasi kejadian.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipandu oleh lelaki berusia 29 berkenaan dipercayai hilang kawalan, sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan motosikal ditunggang mangsa.
“Susulan itu, polis menahan pemandu SUV terbabit bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ashari berkata mayat telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini untuk bedah siasat.
Beliau memaklumkan pihaknya turut mendapatkan rakaman kamera papan pemuka, dan akan menjalankan ujian berkaitan bagi melengkapkan siasatan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau rakaman berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.





