Penunggang motosikal maut digilis lori ketika mahu berteduh bawah jejambat

6 Nov 2026 • 9:48 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Penunggang motosikal maut digilis lori ketika mahu berteduh bawah jejambat
Seorang penunggang motosikal maut akibat kemalangan. Foto tular

SUNGAI PETANI - Seorang penunggang motosikal maut, manakala rakannya parah selepas motosikal dinaiki mereka bergesel sebelum kedua-duanya terjatuh dan digilis lori treler ketika mahu berteduh daripada hujan di bawah jejambat di Kilometer 96.2 Lebuhraya Utara-Selatan, tengah malam tadi.

Mangsa yang maut ialah Mohd Khairul A’zami Mohd Nazeri, 23, dari Kampung Permatang Kong, Alor Setar, manakala rakannya, Muhammad Adib Zamri, 23, yang juga berasal dari kampung sama, mengalami kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan kejadian sekitar jam 12.20 tengah malam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR sedang dalam perjalanan dari arah Alor Setar menghala ke Sungai Petani menggunakan lorong kiri.

"Setibanya di lokasi kejadian, kedua-duanya dipercayai cuba berhenti untuk berteduh di bawah jejambat berikutan hujan.

"Ketika cuba mengelak motosikal lain yang sedang berhenti untuk berteduh di bawah jejambat tersebut, kedua-duanya dipercayai telah bergesel sesama sendiri sebelum bergesel dengan bahagian sisi lori treler yang berada di lorong sama.

"Akibat pergeselan tersebut, kedua-dua motosikal terjatuh ke bawah bahagian tengah treler lalu digilis dan diseret," katanya.

Hanyan berkata, Mohd Khairul A’zami disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala rakannya yang parah dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk menerima rawatan.

Mayat mangsa yang maut dibawa ke Jabatan Forensik HSAH untuk urusan bedah siasat.

Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved