PAPAR - Seorang lelaki maut digilis lori selepas motosikal yang ditunggangnya terlanggar lubang di Kilometer 23 Jalan Pan Borneo Papar-Kota Kinabalu di sini pada petang Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu, mangsa, Mohd Shahmezie Fazrin Roslee, 26, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah selepas terperosok di bawah lori berkenaan.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintenden Heryan Mohd Tahir berkata, kemalangan melibatkan motosikal jenis Yamaha Y15ZR dan sebuah lori yang dipandu lelaki warga emas berusia 61 tahun.
"Siasatan awal mendapati penunggang motosikal datang dari arah Papar menuju ke Kota Kinabalu dipercayai cuba memotong sebuah lori yang berada di hadapannya.
"Semasa cuba memotong, motosikal itu dipercayai telah terlanggar lubang di permukaan jalan, menyebabkan mangsa hilang kawalan sebelum terbabas dan terperosok ke bawah tayar lori tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Heryan berkata, akibat kejadian itu mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Papar manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) Kota Kinabalu untuk tujuan bedah siasat hari ini bagi menentukan punca kematian.
"Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadiandiminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar atau pegawai penyiasat kes," katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya, tidak memandu atau menunggang secara berbahaya serta memastikan memiliki lesen memandu yang sah.
"Pengguna jalan raya juga diingatkan supaya lebih berhati-hati terutama ketika musim perayaan kerana jumlah kenderaan di jalan raya semakin meningkat.
"Keselamatan di jalan raya bukan sahaja bergantung kepada keadaan jalan, tetapi juga disiplin dan sikap pengguna jalan raya itu sendiri," katanya.

