Penunggang motosikal maut digilis, polis kesan pemandu treler

29 Jul 2026 • 8:19 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Penunggang motosikal maut digilis, polis kesan pemandu treler

HULU SELANGOR – Seorang tukang cat kereta maut selepas motosikal ditunggangnya terjatuh sebelum mangsa digilis sebuah treler berhampiran lampu isyarat Sungai Choh di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, mangsa berusia 20 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan dada.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan M. Manimaran berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada pukul 5.10 petang.

Katanya, siasatan awal mendapati motosikal mangsa dan treler terbabit bergerak dari arah sama, iaitu dari Bukit Beruntung menuju ke Sungai Choh.

“Apabila tiba di lampu isyarat Sungai Choh, penunggang motosikal dipercayai berada di bahagian tepi belakang sebelah kiri treler sebelum terjatuh sendiri.

“Mangsa kemudian digilis treler berkenaan tanpa disedari pemandunya yang mula bergerak selepas lampu isyarat bertukar hijau,” katanya dalam kenyataan.

Manimaran berkata, treler yang nombor pendaftarannya belum dikenal pasti itu kemudiannya meneruskan perjalanan tanpa menyedari kemalangan berkenaan.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.

“Polis sedang giat mengesan treler yang terlibat dan meminta orang ramai tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohammadi Mat Abu @ Ramli menerusi talian 03-6064 1222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — KOSMO! ONLINE

The post Penunggang motosikal maut digilis, polis kesan pemandu treler appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved