Penunggang motosikal patah kaki, tangan dilanggar kereta buat pusingan U

26 Aug 2026 • 6:49 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Penunggang motosikal patah kaki, tangan dilanggar kereta buat pusingan U
Tangkap layar rakaman video tular memaparkan keadaan kemalangan motosikal dan sebuah kereta di Jalan Kampung Pandan pada Selasa.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki cedera selepas motosikal ditunggangnya dilanggar sebuah kereta yang dipercayai membuat pusingan U di Jalan Kampung Pandan berhampiran persimpangan Jalan Wira 8, Kampung Pandan di sini pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, mangsa berusia 20 tahun mengalami patah kaki kiri dan pergelangan tangan kanan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian membabitkan motosikal ditunggang mangsa dengan sebuah kereta yang dipandu lelaki berusia 18 tahun.

"Seorang penumpang lelaki berusia 25 tahun turut berada dalam kereta berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohd Zamzuri berkata, siasatan awal mendapati penunggang motosikal sedang bergerak terus dari arah Jalan Ampang Hilir menghala ke Bulatan Kampung Pandan.

“Sebuah kereta dari arah bertentangan dipercayai membuat pusingan U sebelum melanggar bahagian tepi kanan motosikal berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal terjatuh di atas jalan raya sebelum mengalami kecederaan.

“Mangsa dibawa ke Hospital Gleneagles untuk menerima rawatan lanjut dan ditahan di wad hospital.

“Pemandu serta penumpang motokar tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Mohd Zamzuri berkata, siasatan lanjut mendapati pemandu kereta terbabit membuat pusingan U berdasarkan panduan aplikasi navigasi kerana tidak biasa dengan laluan berkenaan.

“Ujian pernafasan yang dijalankan terhadap pemandu mendapati bacaan alkohol adalah negatif.

“Rakaman keterangan saksi di tempat kejadian turut mengesahkan pemandu berkenaan tidak memandu dalam keadaan mabuk,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.

"Orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun H S Lee ditalian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," ujarnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved