Penuntut kolej maut terjatuh dari tingkat 22 kondominium

31 Aug 2026 • 10:36 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Penuntut kolej maut terjatuh dari tingkat 22 kondominium

SHAH ALAM, 31 OGOS: Penuntut kolej swasta berusia 18 tahun maut dipercayai terjatuh dari tingkat 22 sebuah kondominium di Jalan Langkawi, Setapak, Kuala Lumpur hari ini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Asisten Komisioner Annas Sulaiman berkata premis kediaman jenis kondominium itu dijadikan asrama bagi penuntut kolej swasta berkenaan.

Menurutnya, mangsa merupakan penuntut semester pertama di kolej terbabit dan dilihat tiba di lokasi kejadian pada jam 7.07 pagi.

“Kira-kira 8.50 pagi, pihak polis menerima panggilan daripada pengawal keselamatan yang memaklumkan mengenai kejadian berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

Annas berkata siasatan awal polis turut melibatkan penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kediaman berkenaan.

“Hasil siasatan awal serta penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati mangsa tiba di kediaman terbabit jam 7.07 pagi, sebelum terjatuh dari koridor di tingkat 22,” katanya.

Beliau berkata mangsa kemudian terjatuh di aras enam kondominium berkenaan. Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.

Annas berkata kes berkenaan setakat ini diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut masih dijalankan berhubung kejadian.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved