.jpg)
KUALA LUMPUR - Bedah siasat terhadap seorang lelaki yang dipercayai terjatuh dari sebuah kondominium di Desa ParkCity, Kepong, Khamis lalu mendapati mangsa meninggal dunia akibat pelbagai kecederaan dialami.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata bedah siasat selesai dijalankan pada jam 7 malam tadi di Institut Perubatan Forensik Negara, Hospital Kuala Lumpur.
Menurutnya, pemeriksaan turut dijalankan ke atas lelaki berkenaan yang disyaki mempunyai kaitan dengan kematian isteri serta dua anaknya.
“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah akibat pelbagai kecederaan yang dialami susulan terjatuh dari tempat tinggi.
“Kedua-dua keluarga (suspek dan isterinya) kini sedang menguruskan urusan membawa pulang jenazah untuk dikebumikan,” katanya dalam satu kenyataan ringkas hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan empat anggota sebuah keluarga ditemukan tidak bernyawa di sebuah unit kondominium di Desa ParkCity, Kepong.
Fadil berkata polis menerima laporan pada jam 3.32 petang berhubung seorang lelaki berusia 48 tahun yang terjatuh dari bangunan kediaman berkenaan.
Polis kemudian bergegas ke lokasi dan dengan bantuan anggota bomba, pintu unit berkenaan dipecahkan sebelum menemukan tiga mayat di bilik berasingan, masing-masing dipercayai isteri dan dua anak lelaki terbabit.
Polis kemudiannya mengesahkan ketiga-tiga mangsa mengalami kecederaan akibat tikaman pada bahagian leher.
Siasatan di lokasi kejadian turut menemukan sekeping nota yang dipercayai ditinggalkan lelaki berusia 48 tahun itu.
Nota berkenaan mengaitkan kejadian dengan kerugian kira-kira RM260,000 yang didakwa dialami selepas isterinya menjadi mangsa penipuan sindiket ‘love scam’. - Getaran, 30 Ogos 2026






