Penyampai radio, DJ Akhiey meninggal dunia ketika dapat rawatan di hospital

1 Nov 2026 • 8:20 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Penyampai radio, DJ Akhiey meninggal dunia ketika dapat rawatan di hospital
Penyampai radio Tawau FM Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sabah, Abdullah Abdul Wahid atau lebih dikenali sebagai DJ Akhiey, 51, meninggal dunia ketika mendapat rawatan di sebuah hospital swasta

TAWAU - Penyampai radio Tawau FM Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sabah, Abdullah Abdul Wahid atau lebih dikenali sebagai DJ Akhiey, 51, meninggal dunia ketika mendapat rawatan di sebuah hospital swasta, di sini pada 5.15 pagi tadi.

Abangnya, Mohd Hussain Abdul Wahid berkata, Abdullah masih mampu berjalan semasa tiba di hospital berkenaan, namun keadaannya berubah selepas beliau berbaring di katil.

"Allahyarham seorang yang peramah, bersahaja dan gemar menceriakan keluarga, malah sering memberikan nasihat serta panduan dalam pelbagai perkara berkaitan kehidupan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Jenazah DJ Akhiey dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 2, Jalan Apas, Tawau kira-kira 12.39 tengah hari tadi.

Sementara itu, Pengurus Penyiaran Tawau FM Muzrina Jubaira Sarfuddin menyifatkan pemergian DJ Akhiey sebagai satu kehilangan besar kepada stesen radio itu.

Muzrina berkata, DJ Akhiey ialah seorang penyampai radio berpengalaman, berkemahiran tinggi dan sentiasa bersedia berkongsi ilmu dengan rakan sekerja.

Beliau berkata, Allahyarham bukan sahaja memiliki kepakaran dalam bidang teknologi maklumat, malah tidak lokek berkongsi ilmu serta sering memberikan tunjuk ajar kepada rakan sekerja, khususnya petugas yang lebih muda.

"Allahyarham banyak memberikan tunjuk ajar dan nasihat, itulah menjadi kenangan manis untuk saya dan rakan-rakan di Tawau FM. Diharapkan seluruh keluarga Allahyarham diberi kekuatan menghadapi ujian kehilangan ini," katanya.

Allahyarham yang meninggalkan isteri dan dua anak ialah petugas tetap RTM dan telah menabur bakti selama 21 tahun di agensi itu. - Bernama

 

 

 

 

 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved