Penyanyi asal Ulek Mayang, Wan Salmah meninggal dunia

LocalMusic
11 Sep 2026 • 1:55 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Penyanyi asal Ulek Mayang, Wan Salmah meninggal dunia
Wan Salmah Wan Sulaiman meninggal dunia akibat kekurangan oksigen di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu pagi tadi.

KUALA TERENGGANU - Tokoh Seni Budaya Terengganu, Wan Salmah Wan Sulaiman, 82, meninggal dunia akibat kekurangan oksigen di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini pagi tadi.

Allahyarham yang berasal dari Kampung Tiong, Kuala Terengganu itu merupakan penyanyi asal lagu Ulek Mayang dan membawa seni gamelan Melayu ke peringkat antarabangsa, termasuk persembahan di Frankfurt, Jerman; Milan, Itali; Amsterdam, Netherlands; dan Zurich, Switzerland; selain mewakili Malaysia ke Festival Seni ASEAN ke-9 di Hong Kong pada 1984.

Anak lelaki Allahyarham, Shahriman Shamsuddin, 52, berkata, ibunya dimasukkan ke HSNZ kira-kira 20 hari lepas disebabkan penurunan tahap oksigen yang teruk.

"Ibu meninggal kira-kira jam 9.25 pagi tadi. Saya ada bersamanya ketika ibu menghembuskan nafas terakhir. Doktor beritahu ibu meninggal disebabkan kekurangan oksigen dalam badan yang menyebabkan organ lain berhenti berfungsi.

"Ibu tak ada penyakit lain yang kronik sebelum ini...hanya kencing manis. Ibu dimasukkan ke hospital 20 hari lepas pun sebab oksigen turun. 19 September ini hari jadi ibu yang ke-82, tak sempat kami sambut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Shahriman berkata, jenazah Allahyarham disolatkan di Masjid Gong Tok Nasek, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Surau Hidayah, Kampung Mengabang Tengah, di sini selepas waktu Zohor.

Beliau berkata, Allahyarhamah meninggalkan lima anak, 20 cucu dan tiga cicit.

Antara pengiktirafan yang diterima oleh Allahyarham sepanjang kariernya ialah Anugerah Tokoh Seni Budaya Negeri Terengganu pada 2016, Anugerah Tokoh Seni Khas dalam bidang tarian 2018 dan Anugerah Tokoh Gamelan 2018. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved