
KUALA TERENGGANU – Dunia seni tradisional tanah air kehilangan seorang lagi permata apabila penyanyi dan pelakon asal lagu ikonik Terengganu, Ulek Mayang, Wan Salmah Wan Sulaiman, meninggal dunia pada Jumaat.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir dalam usia 82 tahun di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, pada pukul 9.25 pagi akibat komplikasi kesihatan susulan penurunan tahap oksigen dalam badan.
Pemergian Allahyarham berlaku hanya beberapa hari sebelum beliau dijadualkan menyambut ulang tahun kelahiran ke-82 pada 19 September ini.
Anak lelakinya, Shahriman Shamsuddin, 52, berkata ibunya menerima rawatan di hospital berkenaan sejak kira-kira 20 hari lalu selepas dikesan mengalami masalah kekurangan oksigen kronik.
Menurutnya, keadaan kesihatan Allahyarham merosot secara mendadak pada pagi Jumaat sehingga beberapa organ penting, termasuk hati, gagal berfungsi.
“Kandungan oksigen dalam badan mami turun mendadak pagi tadi sehingga menyebabkan beberapa organ badannya berhenti berfungsi.
“Saya berada di sisinya ketika beliau menghembuskan nafas terakhir,” katanya ketika dihubungi.
Wan Salmah yang berasal dari Kampung Tiong, Kuala Terengganu, dikenali sebagai antara tokoh seni yang banyak berjasa dalam mengangkat serta memperkenalkan warisan budaya negeri itu.
Namanya cukup sinonim dengan persembahan Ulek Mayang dan gamelan Melayu yang pernah dibawanya ke pelbagai pentas, termasuk pada peringkat antarabangsa.
Ulek Mayang merupakan antara lagu rakyat paling terkenal dalam masyarakat Melayu Terengganu dan terus dipersembahkan sehingga kini sebagai sebahagian daripada warisan seni negeri berkenaan.
Lagu itu turut dikaitkan dengan unsur mistik berdasarkan asal-usulnya yang dipercayai mempunyai hubungan dengan ritual perubatan tradisional masyarakat Melayu Terengganu.
The post Penyanyi lagu ‘Ulek Mayang’, Wan Salmah meninggal dunia appeared first on MYBERITA.






