
PAPAR: Kerajaan akan mencari penyelesaian terbaik bagi pembinaan semula struktur jambatan dasar baharu (LLC) Kampung Kaiduan yang runtuh Sabtu lalu selepas dibawa arus deras sungai susulan hujan lebat ketika ini.
Ahli Parlimen Papar Datuk Armizan Mohd Ali berkata tinjauan segera akan dibuat pihaknya bersama agensi teknikal di kawasan itu untuk mengenalpasti penyelesaian dengan mengambil kira situasi ekstrem di lokasi itu.
“Saya bersama wakil rakyat Limbahau dan agensi teknikal kerajaan akan turun ke Kaiduan untuk meneliti apakah solusi terbaik sebab tidak ada binaan kekal dibuat ekoran cabaran yang perlu dihadapi ini.
“Walaupun LLC sebelum ini ada namun masih tidak dapat dilalui penduduk semasa air sungai naik hingga melimpah kecuali semasa kemarau atau keadaan arus sungai ditahap rendah.
“Kita perlukan spesifikasi dan skop yang mampu menampung cabaran ekstrem di kawasan ini kerana dapat dilihat di hari-hari biasa pun arus sungai deras apatah lagi jika hujan lebat.
“Justeru, kerajaan negeri dan persekutuan komited mencari penyelesaiannya dengan kadar segera,” katanya selepas lawatan ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) Lok Kawi Heights, di sini, Selasa lalu.
Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata kerja pembersihan telah dilaksanakan di 11 daripada 17 gorong-gorong (pembetung) yang tersumbat sebelum ini.
Katanya, punca robohnya LLC itu bukan hanya disebabkan arus deras sungai hingga melimpah ke bahagian atas insfrastruktur ini saja tetapi juga sisa-sisa kayu, batu dan lainnya yang dibawa arus hingga menutup pembetung sedia ada.
“Faktor hakisan terhadap dua struktur asas utama LLC ini ekoran arus deras sungai juga menyumbang kepada keadaan itu hingga menyebabkan kemudahan ini roboh,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Armizan menzahirkan dukacita susulan insiden tanah runtuh yang mengorbankan dua beranak di Kampung Mook dan tiga orang di Kampung Marahang Tuntul, baru-baru ini.
Beliau berkata, pihaknya akan menyediakan penempatan sementara termasuk bantuan kewangan kepada keluarga mangsa selain bantuan kerajaan negeri yang diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berjumlah RM10,000.
“Sekarang kita tempatkan keluarga mangsa di Balai Raya Kampung Mook dan Balai Raya Kampung Marahang sebelum berbincang dengan mereka untuk berpindah di Program Perumahan Rakyat (PPR) berdekatan atau rumah sewa.
“Ia sebagai usaha sementara bagi membuat penilaian risiko terhadap kawasan rumah mereka sebelum pembaikan dibuat terhadap kediaman sedia ada,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan penduduk terutamanya yang tinggal berdekatan bukit atau cerun supaya berpindah lebih awal sama ada ke rumah sanak saudara atau PPS berdekatan.
Beliau berkata berbanding di Semenanjung, penduduk di Sabah kebanyakannya tinggal di kawasan bukit atau berdekatan cerun bukit yang sudah tentu berisiko terutamanya ketika hujan lebat seperti yang berlaku ketika ini.
“Ini adalah ancaman atau risiko besar khususnya apabila hujan lebat berlarutan hingga dikhuatiri membawa kemalangan jiwa, jadi penduduk terlibat jangan tunggu di saat akhir sebaliknya berpindah lebih awal.
“Sama ada ke rumah keluarga atau PPS terdekat dan pastikan juga barang-barang berharga atau dokumen penting dipindahkan ke tempat selamat untuk elak hilang,” katanya.

