
TANJUNG MALIM – Faktor cuaca yang tidak menentu dan risiko bencana musim tengkujuh mutakhir ini menyebabkan Perak mengaktifkan Pusat Kawalan Bencana Negeri (SDCC) bermula semalam.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pusat kawalan tersebut berperanan memantau perkembangan bencana dan menyelaras tindakan agensi berkaitan.
“Operasi 24 jam akan dilaksanakan sekiranya bencana melibatkan lebih daripada tiga daerah.
“Mengambil kira keadaan cuaca tidak menentu dan risiko bencana menjelang musim tengkujuh, kerajaan negeri menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) telah memperkukuhkan kesiapsiagaan,” katanya pada sidang media di Dewan Seri Tanjong, Majlis Daerah Tanjung Malim di sini hari ini.
Katanya, penyelarasan risiko bencana itu melibatkan kekuatan 6,283 anggota pelbagai agensi serta aset penyelamat termasuk 204 bot dan 439 kenderaan pacuan empat roda bagi memastikan bantuan dapat digerakkan segera apabila diperlukan.
Jelasnya, bagi kawasan yang terjejas dengan bencana banjir di negeri ini, pegawai-pegawai pejabat daerah serta pegawai khas MB berada di lapangan bagi memantau dan membantu menyelaraskan keperluan penduduk.- KOSMO! ONLINE
The post Perak aktifkan Pusat Kawalan Bencana Negeri appeared first on Kosmo Online.






