Belum terima arahan, kedudukan Zainol Fadzi sebagai Ketua Whip DUN Perak kekal

LocalPolitics
15 Apr 2026 • 2:30 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Razman (tengah) dalam sidang akhbar sempena Sidang DUN Perak pada Rabu.

IPOH - Perikatan Nasional (PN) Perak belum menerima sebarang arahan rasmi berhubung kedudukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin sebagai Ketua Whip pembangkang.

Ketua Pembangkang DUN Perak, Razman Zakaria berkata, selagi tiada keputusan dibuat oleh kepimpinan Pusat PN, kedudukan Zainol Fadzi yang telah dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, kekal seperti sedia ada.

"Setakat ini belum ada arahan tertentu, jadi kita kekalkan seperti sedia ada.

“Kita terikat kepada parti. Blok pembangkang sekarang adalah PN, jadi keputusan bergantung kepada PN. Kalau nanti kata tak mahu...maka tak adalah,” katanya dalam sidang akhbar sempena Sidang DUN Perak pada Rabu.

Razman yang juga ADUN Gunung Semanggol menjelaskan, sebarang keputusan berkaitan struktur kepimpinan pembangkang perlu melalui proses organisasi parti yang lengkap.

Katanya, ia melibatkan perbincangan antara parti kompenan di peringkat Pusat dan dimaklumkan kepada PN negeri untuk keputusan lanjut.

“Tak boleh buat keputusan sendiri. Semua perlu melalui mesyuarat dan keputusan parti,” katanya.

Dalam pada itu, wakil rakyat Pas itu berkata, ketiadaan arahan rasmi juga menjadi sebab tiada perubahan kedudukan tempat duduk dalam DUN seperti yang diputuskan Speaker.

Pada 13 Februari lalu Sinar Harian melaporkan Zainol Fadzi antara 17 pimpinan Bersatu Perak yang dipecat Lembaga Disiplin parti itu kerana melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu.

Antara wakil rakyat dari Perak yang turut dipecat ialah Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob dan Ahli Parlimen Padang Rengas, Azahari Hasan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved