Perak tubuh dua jawatankuasa impak krisis global

LocalPolitics
21 Apr 2026 • 4:04 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Perak tubuh dua jawatankuasa impak krisis global
Saarani memberitahu DUN Perak bahawa kerajaan negeri mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan dua jawatankuasa khas bagi menangani impak krisis global yang memberi kesan kepada tenaga dan kos sara hidup rakyat ketika ini.
Image from: Perak tubuh dua jawatankuasa impak krisis global

IPOH – Kerajaan Perak mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan dua jawatankuasa khas bagi menangani impak krisis global yang memberi kesan kepada tenaga dan kos sara hidup rakyat ketika ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, dua jawatankuasa khas itu ialah Jawatankuasa Khas Mitigasi Impak Krisis dan Jawatankuasa Pemantauan Impak Krisis bagi melaksanakan pelan mitigasi secara menyeluruh.

Menurutnya, peranan khusus kedua-dua jawatankuasa tersebut akan diperincikan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dalam masa terdekat sebelum pelaksanaan langkah intervensi dilakukan secara berfasa.

"Kerajaan negeri tidak berdiam diri atau mengambil sikap tunggu dan lihat dalam isu ini, malah telah mengambil pendekatan proaktif dan terselaras sejak awal lagi termasuk mengambil bahagian secara aktif ketika Mesyuarat Khas Menteri Besar–Ketua Menteri pada 2 April 2026 yang secara khusus membincangkan impak krisis tenaga global serta langkah mitigasi yang perlu dilaksanakan di semua peringkat.

"Susulan mesyuarat tersebut, laporan telah dibentangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan tindakan lanjut telah digerakkan di peringkat pentadbiran negeri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung Usul Menjunjung Kasih Titah Sultan Perak sempena Mesyuarat Pertama Tahun Keempat Dewan Negeri Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Selasa.

Saarani berkata, satu mesyuarat penyelarasan bersama ketua-ketua jabatan juga diadakan pada 14 April bagi mendapatkan maklum balas terperinci mengenai kesan krisis terhadap ekonomi negeri dan kehidupan rakyat.

Menurutnya, hasil penyelarasan itu, beberapa langkah awal telah dikenal pasti termasuk memberi keutamaan kepada aspek keterjaminan makanan serta menilai semula peruntukan agar lebih tertumpu kepada keperluan mendesak rakyat.

Tambahnya, Institut Darul Ridzuan (IDR) turut menjalankan kajian awal yang memperincikan kesan krisis tersebut selain mengemukakan syor kepada kerajaan negeri bagi merangka tindakan lebih tangkas dan berasaskan data.

**media[3498832]**

"Fasa awal langkah mitigasi akan menumpukan kepada perkara yang paling asas iaitu menyentuh keperluan di dapur dan meja makan rakyat memastikan keperluan makanan rakyat terus terjamin khususnya bagi golongan yang paling terkesan dengan tekanan kos sara hidup ketika ini.

"Fasa-fasa seterusnya juga akan menekankan komitmen kerajaan negeri untuk melaksanakan langkah-langkah mitigasi terhadap sektor-sektor strategik negeri, selain memastikan golongan seperti petani dan usahawan kecil dapat diupayakan sekiranya keadaan krisis tenaga bertambah buruk," katanya.

Beliau berkata, langkah-langkah yang akan diperhalusi akan mengambil kira tindakan intervensi yang sedang dan akan dilaksanakan di peringkat persekutuan bagi mengelakkan sebarang pertindihan atau ketirisan sumber.

Saarani turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan melaksanakan penjajaran semula perbelanjaan bagi tahun 2026 dengan memberi keutamaan kepada perkara yang benar-benar menyentuh keperluan rakyat.

Menurutnya, peruntukan yang kurang kritikal akan diteliti semula bagi memastikan sumber sedia ada dapat digunakan secara lebih berkesan dalam melaksanakan langkah mitigasi.

Jelasnya, kerajaan negeri juga tidak menolak kemungkinan untuk menyediakan belanjawan tambahan bagi memperkukuh usaha berkenaan terutama dalam melindungi kebajikan rakyat dan memastikan pertumbuhan ekonomi negeri terus terpelihara.