IOI Properties dijangka terima hasil RM2.65b dengan IOIPG REIT

Business & Finance
10 Aug 2026 • 8:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: IOI Properties dijangka terima hasil RM2.65b dengan IOIPG REIT

PETALING JAYA: IOI Properties Group Bhd. (IOIPG) dijangka menerima hasil tunai kira-kira RM2.65 bilion daripada penubuhan dan penyenaraian amanah pelaburan hartanah (REIT) miliknya, IOIPG REIT, dengan potensi peningkatan sekiranya REIT berkenaan disenaraikan pada harga melebihi nilai buku.

Penganalisis Hong Leong Investment Bank Bhd. (HLIB), Tan Kai Sheun berkata, kelulusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk penubuhan dan penyenaraian IOIPG REIT merupakan perkembangan penting yang membawa kumpulan itu selangkah lebih dekat kepada sasaran penyenaraian pada November 2026.

Katanya, IOIPG REIT dijangka menjadi penyenaraian REIT tulen terbesar dari segi permodalan pasaran dalam sejarah Bursa Malaysia.

“Hasil berkenaan akan membantu membiayai pembangunan berterusan hartanah pelaburan baharu kumpulan serta berpotensi digunakan bagi pemerolehan aset menarik sebagai sebahagian daripada strategi kitar semula modal.

“Terdapat juga potensi pembayaran dividen khas selepas penyenaraian sebagai ganjaran kepada pemegang saham sedia ada,” katanya dalam nota penyelidikan. 

Dalam perkembangan berkai­tan, Kai Sheun berkata, kehadiran penyewa berprofil tinggi terus mengukuhkan ekosistem IOI Resort City.

Beliau berkata, AIA Shared Services pada 7 Ogos lalu mengadakan pembukaan rasmi pejabat baharunya di IOI City Tower 1, Putrajaya, selepas ruang pejabat itu diserahkan kepada AIA pada akhir tahun lalu.

Katanya, AIA akan menduduki kira-kira 180,000 kaki persegi keluasan lantai bersih (NLA), bersamaan 37 peratus daripada NLA menara berkenaan, merangkumi 12 daripada 31 tingkat.

“Kira-kira 2,000 pekerja AIA dijangka ditempatkan di situ, yang sepatutnya meningkatkan jumlah kunjungan ke IOI City Mall pada hari bekerja, khususnya ketika waktu makan tengah hari dan selepas waktu pejabat.

“Ia akan melengkapi jumlah kunjungan lebih tinggi pada hujung minggu serta membantu menyokong corak kunjungan yang lebih seimbang sepanjang minggu,” katanya.

Beliau berkata, IOI City Towers 1 dan 2 kini mempunyai kadar komitmen sebanyak 91 peratus, jauh mengatasi purata kadar penghunian pejabat di Selangor sebanyak 72.5 peratus pada separuh pertama 2026 berdasarkan data awal Knight Frank.

Selain itu, beliau berkata, Apple dilaporkan akan membuka kedai utamanya yang kedua di Malaysia di IOI City Mall.

“Kehadiran jenama global terkenal itu merupakan satu bentuk pengiktirafan terhadap daya tarikan pusat beli-belah berkenaan dan prospek jangka panjangnya,” jelasnya.

Beliau memberikan penarafan ‘beli’ terhadap saham IOIPG dengan harga sasaran (TP) RM5.20, berdasarkan diskaun 20 peratus kepada nilai aset bersih terlaras (RNAV) sebanyak RM6.50.

“Saham IOIPG kini berada dalam senarai sekatan HLIB,” tambahnya.

Berdasarkan unjuran sebelum sekatan, pendapatan sesaham (EPS) teras IOIPG dijangka meningkat daripada 7.1 sen bagi tahun kewangan 2025 kepada 14.9 sen bagi (2026), 18.8 sen (2027) dan 21.7 sen (2028).

The post IOI Properties dijangka terima hasil RM2.65b dengan IOIPG REIT appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved