
BESUT – Jabatan Penjara kini dalam fasa akhir untuk menyiapkan penggubalan syarat dan peraturan hukuman tahanan rumah yang sebelum ini belum pernah dipraktikkan di negara ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia selaras permintaan Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang memutuskan keputusan tersebut terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 18 September lalu.
“Kita tidak pernah ada (hukuman tahanan rumah), jadi Jabatan Penjara diminta gubal peraturan yang kini dalam fasa akhir.
“Peraturan akan dilaksana apabila bayaran (denda) RM50 juta dibuat (oleh Najib),” katanya di Felda Tenang, di sini, hari ini.
Terdahulu beliau ditemui selepas meluncurkan program Kampung Angkat Madani Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin Nasution mengesahkan Najib masih belum melunaskan denda RM50 juta berkenaan.
Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah agar Najib diberi pengampunan bersyarat menjalani baki hukuman penjaranya menerusi tahanan rumah hingga 23 Ogos 2028 dengan membayar denda RM50 juta. – KOSMO! ONLINE
The post Peraturan hukuman tahanan rumah dalam fasa akhir digubal appeared first on Kosmo Online.






