
BESUT: Jabatan Penjara kini di fasa akhir penggubalan peraturan dan syarat untuk pelaksanaan tahanan rumah bagi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Jabatan Penjara adalah pelaksana kepada keputusan Lembaga Pengampunan dan telah menerima surat daripada urus setia lembaga berkenaan yang menyatakan keputusan serta syarat-syarat berkaitan.
“Jabatan Penjara perlu menggubal peraturan khusus berhubung tahanan rumah memandangkan mekanisme itu belum pernah dilaksanakan sebelum ini dan secara tiba-tiba akan dilaksanakan.
“Sekarang, proses penggubalan itu berada pada fasa akhir. Dalam surat urus setia Lembaga Pengampunan kepada Jabatan Penjara, dinyatakan bahawa Jabatan Penjara boleh menetapkan apa-apa syarat yang bersesuaian,” katanya selepas Majlis Peluncuran Kampung Angkat Madani dan Sekolah Madani di Felda Tenang, di sini hari ini.
Menurut Saifuddin Nasution, Najib kini masih berada di penjara susulan bayaran RM50 juta yang disebut dalam kenyataan sebelum ini belum dibuat.
Beliau berkata, tugas Kementerian Dalam Negeri (KDN) khususnya Jabatan Penjara ketika ini adalah menyediakan peraturan bagi memastikan pelaksanaan tahanan rumah dapat dipandu oleh syarat yang jelas.
“Itu yang saya boleh komen buat masa ini,” katanya.
Pada 18 September lalu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenan pengampunan bersyarat terhadap Najib yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara enam tahun dalam kes SRC International di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.
Keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan ke-64. Sebelum ini, Najib menjalani hukuman di Penjara Kajang selepas sabitan dalam kes SRC International dikekalkan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. – UTUSAN
The post Peraturan tahanan rumah Najib di fasa akhir penggubalan appeared first on Utusan Malaysia.






