Perayaan platform perpaduan masyarakat majmuk di Sabah

LocalPolitics
3 Apr 2025 • 12:24 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Marutin Ansiung

KENINGAU: Setiap perayaan di negara ini, khususnya di Sabah, menjadi ‘platform’ untuk menyatupadukan masyarakat berbilang kaum dan agama.

Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, inilah keunikan di Sabah di mana rakyatnya hidup dalam keadaan harmoni walaupun terdiri daripada berbilang kaum dan agama.

“Seperti mana yang kita lihat, macam biasa, Hari Raya sudah menjadi satu ‘platform’ untuk menyatupadukan rakyat, mengeratkan silaturrahim dan juga memelihara perpaduan kita,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka StarSabah dan Datuk Robert Tawik di Taman Bandukan Riverside Resort Bingkor, pada Isnin.

Jeffrey, yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, berkata beliau bangga menjadi rakyat Sabah kerana dapat menikmati perayaan yang begitu banyak di negeri ini, termasuk Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Krismas.

Katanya, semua masyarakat pelbagai kaum dan agama menikmati perayaan-perayaan ini dengan aman dan harmoni.

“Dan sekarang kerajaan negeri telah menjadi hos kepada perayaan-perayaan ini dan kita bangga kerana ini adalah salah satu ‘platform’ penting yang harus kita hargai,” jelasnya.

Ahli Parlimen Keningau merangkap Adun Tambunan itu turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua rakyat Malaysia, khususnya di Sabah.

Turut hadir Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk James Ratib, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir, serta Ahli Dewan Negara Senator Datuk Edward Linggu.

Lebih kurang 8,000 orang hadir ke majlis itu, bermula jam 11 pagi hingga 5 petang.

Sambutan rumah terbuka itu turut diserikan dengan persembahan tarian kebudayaan dan lagu-lagu raya.