
KUALA LUMPUR 8 Dis – Perbelanjaan pengiklanan digital Malaysia melonjak kepada RM1.004 bilion bagi separuh pertama 2025, susulan peningkatan mendadak dalam suku kedua tahun ini, menurut Laporan Malaysian Digital ADEX 1H 2025 yang diumumkan oleh Persatuan Pakar Media (MSA) bersama Persatuan Pengiklan Malaysia (MAA) dan Persatuan Digital Malaysia (MDA).
Dalam kenyataan hari ini, MAA berkata laporan tersebut merangkumi data 21 agensi media, mewakili kira-kira 60% daripada keseluruhan perbelanjaan iklan digital negara bagi tempoh Januari hingga Jun 2025.
Menurut laporan itu, perbelanjaan iklan digital meningkat 6.4% pada suku pertama (Q1) kepada RM343 juta, sebelum melonjak lebih tinggi sebanyak 22% pada suku kedua (Q2) kepada RM661 juta.
Prestasi terkumpul ini disifatkan antara yang paling kukuh sejak penjejakan ADEX digital bermula pada 2017.
Ketua Teras Penyelidikan dan Pengukuran MAA, Jessica Lim berkata, lonjakan perbelanjaan itu mencerminkan perubahan sentimen pengiklan selepas pendekatan lebih berhati-hati sepanjang 2024.
“Selepas tahun yang agak berhati-hati pada 2024, kini jelas terdapat kebangkitan semula keyakinan dalam kalangan pengiklan digital. Jenama kembali mengaktifkan kempen secara agresif, meneroka format kreatif dan memberi keutamaan kepada pulangan yang boleh diukur,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dari segi agihan perbelanjaan mengikut format, platform media sosial terus menguasai bahagian terbesar dengan sumbangan meningkat daripada 41% kepada 44% pada Q1 secara tahun ke tahun, dan melonjak lagi daripada 44% kepada hampir 50% pada Q2.
Video kekal sebagai format kedua terbesar dengan sumbangan 24% pada Q1 dan 22.3% pada Q2, manakala paparan berada dalam julat 12% hingga 15%, mencerminkan keseimbangan strategi antara kesedaran jenama dan prestasi jualan.
Menurut Jessica, peningkatan ketara pada perbelanjaan media sosial dipacu oleh kebergantungan yang semakin tinggi terhadap kandungan video pendek, kerjasama pencipta kandungan dan format interaktif.
“Media sosial kini menjadi nadi utama penglibatan digital. Dengan pertumbuhan e-dagang sosial, kami menjangkakan perbelanjaan dalam segmen ini akan terus meningkat,” katanya.
Dari sudut kategori industri, Teknologi dan Elektronik kekal sebagai penyumbang perbelanjaan terbesar dengan pegangan meningkat daripada sekitar 19% kepada 20% secara tahun ke tahun. Penjagaan Peribadi pula mencatat prestasi bercampur, merosot pada Q1 tetapi kembali meningkat hampir 19% pada Q2.
Makanan dan Minuman kekal dalam kelompok tiga teratas meskipun sumbangan menurun sedikit daripada 21% pada Q1 2024 kepada sekitar 18–19% pada 2025.
Namun, kategori yang mencatat lonjakan paling ketara ialah Pelancongan dan Lawatan (Travel & Tours), yang meningkat daripada hanya 1% pada Q1 2024 kepada hampir 9% pada Q1 2025, mencerminkan kebangkitan semula permintaan terhadap perjalanan dan pengalaman pengguna.
“Lonjakan perbelanjaan dalam kategori pelancongan menunjukkan rakyat kembali melancong dan berbelanja untuk pengalaman. Pengiklan bertindak balas dengan kempen yang menekankan emosi, mobiliti dan gaya hidup,” kata Jessica.
Presiden MAA, Claudian Navin Stanislaus berkata, prestasi positif perbelanjaan iklan digital bukan sekadar mencerminkan pertumbuhan angka, sebaliknya menggambarkan perubahan kualitatif dalam industri.
“Yang lebih penting daripada peningkatan angka ialah keseimbangan antara teknologi, kreativiti dan manusia. Pertumbuhan merentas kategori menunjukkan industri pengiklanan Malaysia sedang bergerak ke hadapan dengan hala tuju yang lebih jelas,” katanya.
Laporan penuh Q1 dan Q2 2025 kini boleh dimuat turun melalui laman web baharu MAA yang turut menempatkan pelbagai bahan kepimpinan pemikiran, amalan terbaik serta kemas kini inisiatif industri. - DagangNews.com


