Perbelanjaan Kerajaan Persekutuan dijangka cecah rekod RM430.3 bilion dalam Belanjawan 2026 - Kenanga

LocalBusiness & Finance
2 Oct 2025 • 4:00 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Perbelanjaan Kerajaan Persekutuan dijangka cecah rekod RM430.3 bilion dalam Belanjawan 2026 - Kenanga

image is not available

02/10/2025 - 16:00

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 2 Okt - Perbelanjaan Kerajaan Persekutuan dijangka mencecah paras tertinggi sebanyak RM430.3 bilion pada tahun 2026 disebabkan peningkatan dalam perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan, kata Kenanga Research.

Katanya, menjelang pembentangan Belanjawan 2026 minggu depan, perbelanjaan pembangunan dijangka meningkat 2.6% kepada RM342.3 bilion, selari dengan usaha kerajaan menyeimbangkan disiplin fiskal dengan sokongan sosial.

Bagi perbelanjaan pembangunan, ia diunjur berkembang 2.3% kepada RM88 bilion pada 2026, mencerminkan komitmen kerajaan terhadap transformasi ekonomi jangka panjang, pembinaan daya tahan serta pembangunan inklusif.

"Kerajaan dijangka mengutamakan pengoptimuman perbelanjaan dengan memberi fokus kepada program yang meningkatkan daya tahan ekonomi, memperkukuh perlindungan sosial dan menyokong pertumbuhan inklusif.

"Langkah ini bertujuan meningkatkan pendapatan boleh guna, menggalakkan guna tenaga serta mengekalkan permintaan domestik, yang penting untuk momentum pertumbuhan dalam keadaan ketidaktentuan global," katanya dalam satu nota kajian.

Kenanga Research menjangka Belanjawan 2026 akan mengukuhkan agenda reformasi Malaysia di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), memajukan rangka kerja Ekonomi MADANI, serta membina daya tahan jangka panjang.

Antara keutamaan termasuk menarik pelaburan bernilai tinggi, memperluas bantuan bersasar, memodenkan perkhidmatan awam selain memberi tumpuan kepada transformasi industri, perlindungan sosial inklusif dan reformasi tadbir urus untuk menjana pertumbuhan mapan serta inklusif.

Bank pelaburan itu turut menjangkakan kerajaan akan menetapkan sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2026 pada 5%, sejajar dengan unjuran dalaman firma penyelidikan itu sebanyak 4.2%.

“Walaupun berdepan ketidaktentuan global, daya tahan dijangka kekal, disokong permintaan domestik yang berterusan, sektor perkhidmatan yang kukuh, bersama reformasi subsidi dan langkah-langkah struktur,” katanya.

Dalam masa sama, Kenanga Research mengunjurkan defisit fiskal 3.7% pada 2026, dengan reformasi cukai dan tadbir urus sebagai kunci kepada kelestarian.

Pertumbuhan hasil pula dijangka sederhana pada 3.6%, berikutan pendapatan berasaskan minyak yang lebih lemah meskipun terdapat lonjakan hasil daripada perluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta pelaksanaan e-invois.

Nisbah hutang kerajaan persekutuan kepada KDNK pula dijangka meningkat kepada 66.5% pada 2026, naik sedikit berbanding anggaran 66.0% pada 2025, selaras dengan perkembangan ekonomi sederhana dan pinjaman berterusan.

“Caj perkhidmatan hutang sebagai peratusan hasil dijangka naik kepada 16.8% pada 2026, melepasi paras ambang 15.0%,” katanya. - BERNAMA

featured standard