
SHAH ALAM, 19 OGOS: Orang ramai dinasihatkan untuk tidak mengadakan sebarang perhimpunan atau tunjuk perasaan apabila kes kematian 'Rocky' dijadualkan dibawa ke Mahkamah Klang, esok.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, orang ramai perlu mempercayai proses perundangan yang berjalan selepas siasatan kes itu dibuat oleh pihak polis.
"Saya menasihatkan supaya tidak perlulah diperbesarkan isu ini sehingga nak diadakan sebarang perhimpunan ataupun tunjuk perasaan.
"Daripada aspek perundangan, siasatan telah dijalankan dan kita telah kenal pasti siapa pihak-pihak yang bertanggungjawab," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.
Tambahnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Selangor akan terus komited menjalankan siasatan secara adil dan tidak memihak kepada mana-mana pihak.
"Siasatan yang kami jalankan ini telah membawa kepada arahan pertuduhan esok. Ini menunjukkan bahawa kita tidak berpihak kepada mana-mana.
"Selagi ada yang melanggar undang-undang, kita akan jalankan siasatan dan mengambil tindakan mengikut lunas perundangan," katanya.
Jelasnya lagi, orang ramai wajar memberi ruang kepada proses perundangan berlaku dan tidak mencetuskan sebarang kekecohan.
Beliau turut menegaskan yang kawalan keselamatan seperti biasa memang dilakukan pihak polis di kawasan mahkamah bagi memastikan ketenteraman awam.
"Di mahkamah memang sentiasa pihak polis kawal. Saya percaya esok pun Ketua Polis Daerah Klang Selatan akan mengambil tindakan-tindakan yang sewajarnya.
"Justeru, kepada masyarakat, hadirlah dengan penuh tertib dan keamanan. Tidak perlu untuk kita memecah keamanan esok. Biarlah undang-undang menjalankan tugasnya," katanya.
Beliau bagaimanapun menjelaskan yang orang ramai dibolehkan hadir untuk melihat prosiding pertuduhan kes pembunuhan anjing itu tetapi diminta menjaga ketenteraman dan mematuhi arahan pihak berkuasa.






