
KEMENANGAN Barisan Nasional (BN) di Johor dan Negeri Sembilan bukan sekadar keputusan pilihan raya negeri (PRN). Sebaliknya memberi petunjuk parti yang pernah berada pada titik paling rendah selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kini sedang membina semula identitinya sebagai kuasa politik yang semakin kompetitif.
Di sebalik kebangkitan ini, peranan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN wajar dilihat daripada sudut strategi politik.
Ahmad Zahid semakin selesa memainkan politik pragmatik, taktikal dan berorientasikan hasil.
Daripada terus melihat parti-parti Melayu sebagai pesaing yang perlu ditewaskan, pendekatan selepas PRU15 menunjukkan kesediaan untuk mencari ruang persefahaman bagi mengelakkan perpecahan undi.
Johor menjadi bukti pertama BN masih mempunyai kekuatan akar umbi yang besar. Negeri Sembilan pula memberikan pengesahan kedua apabila persaingan sesama blok Melayu dapat dikurangkan, maka BN mempunyai ruang yang lebih besar untuk mengukuhkan kedudukannya.
Ini bukan semata-mata kerana populariti BN meningkat secara mendadak. Sebahagian kekuatan itu datang daripada pengurusan persaingan politik yang lebih baik.
Dalam politik pilihan raya, kadangkala kemenangan bukan hanya bergantung kepada berapa banyak undi yang boleh diperoleh tetapi berapa banyak undi yang tidak dibiarkan berpecah.
Persefahaman dengan parti lain, khususnya Perikatan Nasional (PN), memberikan BN ruang untuk mengurus realiti tersebut.
Di sinilah taktikal Ahmad Zahid yang juga merupakan Timbalan Perdana Menteri menjadi signifikan.
Beliau nampaknya memahami politik pasca-PRU15 tidak lagi boleh dilihat melalui kerangka lama UMNO lawan semua.
Beliau memahami realiti politik baharu memerlukan rundingan, koordinasi dan kesediaan membuat kompromi apabila memberikan keuntungan strategik kepada BN.
Namun, strategi ini tidak bermaksud UMNO perlu kehilangan identiti. Sebaliknya, cabaran sebenar adalah bagaimana UMNO boleh bekerjasama tanpa kehilangan jenama dan berkompromi tanpa kehilangan arah.
Negeri Sembilan memberikan satu lagi pengajaran penting. Persefahaman politik boleh membawa keuntungan apabila ia mengurangkan pertandingan yang tidak perlu. Tetapi kemenangan pilihan raya tetap memerlukan calon yang diterima, jentera yang berfungsi dan kemampuan memahami sentimen setempat.
Sebab itu, Melaka menjadi medan ujian seterusnya.
Jika formula Johor dan Negeri Sembilan dapat diteruskan di Melaka, ia akan memberikan satu mesej yang lebih besar bahawa kerjasama dan koordinasi antara parti Melayu bukan lagi sekadar percubaan sementara tetapi mungkin menjadi sebahagian daripada strategi menghadapi PRU16.
Bagaimanapun, jangan terlalu cepat menganggap formula sama akan menghasilkan keputusan yang sama. Setiap negeri mempunyai demografi, kepimpinan dan dinamika politik yang berbeza.
Melaka akan menguji sejauh mana BN dan rakan-rakannya mampu mengurus pembahagian kerusi, kepentingan parti serta ego politik masing-masing. Jika semua pihak mahu menang sendiri, momentum boleh kembali menjadi perpecahan. Jika semua pihak memahami kepentingan strategik yang lebih besar, momentum boleh menjadi aset.
Dalam konteks ini, ada satu peringatan yang perlu diberikan kepada UMNO.

BUKAN UNTUK SELESA
Kemenangan Johor dan Negeri Sembilan tidak seharusnya menghasilkan rasa terlalu selesa. BN baru sahaja keluar daripada fasa survival. Momentum yang sedang terbina perlu diperkukuhkan, bukan dibazirkan melalui konflik dalaman, perebutan pengaruh atau percaturan sesama sendiri.
UMNO perlu melihat BN sebagai kekuatan kolektif. BN perlu dirapatkan, bukan sekadar ketika pilihan raya semakin hampir tetapi sebagai sebuah jentera politik yang mempunyai identiti, disiplin dan hala tuju bersama.
Pada masa sama, kerjasama dengan parti lain perlu diurus secara bijaksana. Jangan sampai persefahaman elektoral dilihat sebagai penghapusan identiti BN tetapi jangan juga sampai ego parti menghalang kerjasama yang boleh memberikan keuntungan politik.
Ini bukan soal siapa menguasai siapa. Ia soal bagaimana setiap parti memahami matematik politik baharu Malaysia.
Bagi Kerajaan Perpaduan pula, perkembangan ini tidak semestinya perlu dilihat sebagai ancaman. Sebaliknya, gambaran parti-parti politik sedang menyesuaikan diri dengan sistem politik yang lebih kompetitif dan tidak lagi didominasi oleh satu blok.
MOMENTUM
Namun bagi Ahmad Zahid, cabaran sebenar bermula sekarang.
Johor membuktikan BN boleh menang besar. Negeri Sembilan menunjukkan momentum itu boleh diteruskan. Melaka pula bakal menguji sama ada formula tersebut mempunyai daya tahan.
Dan selepas itu, gelanggang sebenar ialah PRU16.
Ahmad Zahid kini mempunyai satu kelebihan yang tidak dimiliki BN beberapa tahun lalu, iaitu momentum. Tetapi momentum tanpa kesatuan boleh hilang. Strategi tanpa disiplin boleh gagal. Dan kemenangan negeri tanpa penyusunan nasional belum tentu membawa BN kembali menjadi kuasa penentu di Putrajaya.
Justeru, tugas Ahmad Zahid bukan sekadar mempertahankan kemenangan yang ada. Tugasnya ialah menyusun semula BN supaya kembali menjadi sebuah kuasa politik yang mempunyai daya tawar, daya tahan dan daya menang.
Bagi UMNO pula, mesejnya mudah. Jangan terlalu cepat berasa sudah menang. Jangan juga terlalu lama mengingati kekalahan.
Johor dan Negeri Sembilan mungkin menandakan BN sudah keluar daripada era survival. Melaka akan menguji kekuatan momentum. PRU16 pula akan menentukan sama ada kebangkitan itu benar-benar sebuah kebangkitan atau sekadar episod sementara dalam politik Malaysia. –UTUSAN
PROFESOR Datuk Dr. Sivamurugan Pandian ialah Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM).
The post Percaturan Ahmad Zahid bantu kebangkitan Barisan Nasional appeared first on Utusan Malaysia.






