
PETALING JAYA: Perdagangan Malaysia berkembang 24.7 peratus kepada RM2.16 trilion dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, melepasi paras RM2 trilion dua bulan lebih awal berbanding 2025.
Dalam tempoh sama, eksport meningkat 29.2 peratus kepada RM1.165 trilion, manakala import naik 19.8 peratus kepada RM994.71 bilion. Eksport melepasi RM1 trilion sebulan lebih awal berbanding tahun lalu.
Lebihan dagangan pula berjumlah RM170.50 bilion, meningkat lebih dua kali ganda berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) berkata, perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing mencatat nilai kumulatif tertinggi bagi tempoh Januari hingga Julai.
“Prestasi kukuh ini menggambarkan momentum pertumbuhan perdagangan Malaysia yang terus mampan sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini.
“Prestasi memberangsangkan itu menjadi asas kukuh, namun memerlukan pendekatan berhemah dan keupayaan menyesuaikan diri bagi memanfaatkan peluang baharu dalam landskap perdagangan global.
“Walaupun berdepan cabaran berterusan akibat ketidaktentuan perdagangan dunia, aktiviti perdagangan yang kukuh menyumbang kepada pertumbuhan 6.0 peratus Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia pada suku kedua 2026.
“Ini disokong perbelanjaan domestik yang berdaya tahan dan pertumbuhan eksport yang kukuh,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas prestasi Julai, Matrade berkata, perdagangan Malaysia berkembang 37.3 peratus tahun ke tahun kepada RM364.74 bilion dengan eksport meningkat 38 peratus kepada RM193.60 bilion, manakala import naik 36.4 peratus kepada RM171.14 bilion.
Jelasnya, lebihan dagangan sebanyak RM22.46 bilion direkodkan, sekali gus menjadi lebihan dagangan ke-75 bulan berturut-turut sejak Mei 2020.
“Prestasi eksport turut disokong pertumbuhan menyeluruh dalam tiga sektor utama, iaitu barangan perkilangan, keluaran pertanian dan hasil galian, mencerminkan kemapanan serta kepelbagaian struktur eksport negara.
“Barangan elektrik dan elektronik (E&E) kekal sebagai penyumbang utama eksport dengan nilai bulanan tertinggi, meningkat RM32 bilion berbanding Julai 2025, didorong permintaan kukuh terhadap semikonduktor dan barangan E&E bernilai tinggi lain.
“Eksport bijih logam dan serpihan logam serta minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit turut meningkat pada Julai, menyokong pertumbuhan keseluruhan eksport,” katanya.
Tambahnya, kepelbagaian eksport Malaysia turut disokong permintaan positif daripada pasaran utama pada Julai 2026.
“Eksport ke ASEAN, Republik Rakyat China (China), Amerika Syarikat (AS), Taiwan dan Kesatuan Eropah (EU) masing-masing mencatat pertumbuhan dua digit, dengan nilai eksport bulanan tertinggi direkodkan ke ASEAN, China dan Taiwan.
“Pertumbuhan turut dicatat dalam kalangan rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia, dengan peningkatan eksport pelbagai jenis barangan, mencerminkan manfaat kepelbagaian pasaran serta pengukuhan rangkaian perdagangan negara.
“Peningkatan eksport turut dicatat ke Mexico, Jepun, United Kingdom (UK), Türkiye, Kanada, Peru dan Chile,” ujarnya. –UTUSAN
The post Perdagangan Malaysia cecah RM2.16 trilion dalam tujuh bulan appeared first on Utusan Malaysia.






