
PETALING JAYA: Malaysia harus terus berpegang kepada dasar perdagangan dan ekonomi terbuka, pelbagai serta seimbang.
Merujuk perdagangan Malaysia-China, Presiden Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC) Cawangan Melaka, Datuk Shaun Lee Chong Leng berkata, Malaysia tidak seharusnya membiarkan kerjasama perniagaan dipolitikkan secara berlebihan.
Beliau berkata, sejak kebelakangan ini, perniagaan bukan sahaja menghadapi persaingan pasaran, malah turut berdepan peningkatan keperluan pematuhan, prosedur kelulusan dan ketidakpastian dasar.
“Kos tambahan ini sering kali akhirnya ditanggung oleh perniagaan tempatan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya dalam sidang akhbar.
Mengulas perdagangan Malaysia-China, Shaun Lee berkata, China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia dan juga sumber pelaburan yang penting bagi negara ini.
Kata beliau, kedua-dua negara menjalin kerjasama erat dalam bidang seperti elektronik, pembuatan, produk pertanian, ekonomi digital, tenaga hijau dan infrastruktur.
Malah katanya, banyak syarikat tempatan telah mencapai pertumbuhan, transformasi dan pengantarabangsaan dengan memanfaatkan pasaran China yang luas.
“Fakta telah membuktikan bahawa pembangunan China tidak melemahkan Malaysia sebaliknya, ia telah mewujudkan lebih banyak peluang untuk negara kita,” ujar beliau.
Beliau turut mengimbau pemeteraian “Program Lima Tahun Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan Malaysia-China” pada tahun 2024 yang memperkukuh lagi kerjasama dalam bidang seperti rantaian industri, ekonomi digital, dan ekonomi hijau.
Kerjasama itu katanya, menunjukkan bahawa kedua-dua pihak berkongsi aspirasi yang sama untuk terus memperkukuh hubungan ekonomi dan perdagangan.
“Walaupun keselamatan negara adalah penting, ia tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menyekat interaksi perniagaan, dan usaha memperkukuh kerjasama dengan China juga tidak wajar ditafsirkan sebagai tindakan “memihak kepada sebelah pihak.”
“Usaha memperdalam kerjasama antara Malaysia dan China tidak bermaksud menjauhkan diri daripada Amerika Syarikat, Eropah, Asia Barat atau negara-negara lain.
“Sebaliknya, ia bermaksud memanfaatkan sepenuhnya dasar luar Malaysia yang bersifat terbuka dan pelbagai sejak sekian lama, sambil mengekalkan hubungan baik dengan ekonomi-ekonomi utama serta negara-negara ASEAN,” katanya.
Beliau berkata, China memiliki pasaran pengguna yang luas, sistem perindustrian yang lengkap, dan keupayaan inovasi yang terus berkembang, menjadikannya pasaran serta rakan pembangunan penting yang tidak boleh diabaikan oleh Malaysia, walaupun berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi global.
“Mengurangkan kerjasama dengan China atas faktor geopolitik adalah sama seperti melepaskan satu pemacu pembangunan yang amat penting,” katanya.
Justeru, beliau menggesa kerajaan untuk terus memperkukuh kestabilan dasar dan kecekapan pentadbiran, serta secara berterusan memberikan isyarat yang jelas, konsisten dan mengalu-alukan kepada pelabur domestik mahupun asing.
“Pelabur bukan sahaja mementingkan insentif cukai, malah turut mengambil berat tentang kestabilan politik, kesinambungan dasar, kecekapan pentadbiran dan kepastian persekitaran perniagaan.
“Sekiranya perniagaan berdepan dengan prosedur yang rumit, piawaian yang tidak konsisten atau dasar yang berubah-ubah dalam aspek import, kelulusan pelaburan, dan semakan pematuhan, hal ini akan menjejaskan keyakinan pelabur dan mungkin mendorong mereka untuk memindahkan modal ke pasaran ASEAN yang lain seperti Vietnam, Indonesia, atau Thailand,” katanya.-UTUSAN
The post Perdagangan Malaysia-China penting untuk pertumbuhan perniagaan tempatan appeared first on Utusan Malaysia.





