
Kota Kinabalu: Perdebatan mengenai platform e-dagang China Ping Duo Duo (PDD) tidak seharusnya berakhir dengan gesaan supaya sekatan atau perlindungan dikenakan sebaliknya perlu mendorong kerajaan menangani punca mengapa kos operasi perniagaan di Malaysia semakin tinggi dan pengguna semakin memilih untuk membeli dari luar negara bagi mendapatkan alternatif yang lebih murah.
Naib Presiden Warisan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Aru Datuk Junz Wong berkata usaha melindungi perniagaan Malaysia tidak seharusnya dilakukan dengan mengorbankan pengguna yang kini berdepan peningkatan kos sara hidup.
“Jangan paksa pengguna Malaysia membayar lebih semata-mata untuk menampung kegagalan Malaysia menjadikan perniagaan tempatan lebih berdaya saing.
“Pada masa sama kita tidak boleh membiarkan pengilang tempatan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang tulen berdepan persaingan tidak adil. Kita perlu membaiki struktur kos, menguatkuasakan piawaian dan percukaian yang setara serta menyediakan keadaan yang membolehkan perusahaan Malaysia bersaing,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Wong berkata isu itu bukan sekadar berkaitan PDD sebaliknya perniagaan tempatan berdepan peningkatan kos sewa, gaji, elektrik, logistik, pembiayaan, cukai, lesen dan pematuhan peraturan yang akhirnya diterjemahkan kepada harga lebih tinggi kepada pengguna.
Beliau menggesa Kerajaan Persekutuan menjalankan kajian menyeluruh terhadap kesan kumulatif percukaian dan peraturan ke atas perniagaan, khususnya PKS termasuk kesan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), keperluan pelesenan, kos logistik dan prosedur pematuhan yang bertindih.
“Setiap kos baharu yang dikenakan di mana-mana bahagian dalam rantaian bekalan akhirnya membawa kesan. Kerajaan perlu sentiasa menilai sama ada dasar yang dilaksanakannya secara tidak sengaja meningkatkan kos menjalankan perniagaan dan akhirnya meningkatkan kos sara hidup,” katanya.
Wong berkata isu itu lebih mendesak di Sabah apabila pengguna berdepan harga lebih tinggi sejak puluhan tahun lalu akibat kos logistik, kebergantungan kepada barangan dari Semenanjung dan luar negara serta kapasiti pembuatan yang terhad.
Beliau berkata bekalan air dan elektrik yang tidak boleh dipercayai, infrastruktur tidak mencukupi serta kos logistik yang tinggi juga terus menjejaskan keupayaan Sabah menarik pelaburan dan membangunkan industri pembuatan serta industri hiliran yang lebih kukuh.
“Kita tidak boleh meminta perniagaan Sabah menjadi lebih berdaya saing sedangkan mereka bergelut dengan bekalan elektrik yang tidak stabil, gangguan bekalan air dan kos logistik yang tinggi.
“Setiap gangguan bekalan elektrik atau air menyebabkan perniagaan menanggung kerugian. Ketidakcekapan pengangkutan, penggunaan generator sandaran, penyimpanan air, kelewatan dan kos logistik tambahan semuanya meningkatkan kos dan perniagaan tidak mampu menanggung kos ini selama-lamanya. Akhirnya pengguna Sabah membayar melalui harga yang lebih tinggi,” tegasnya.
Wong berkata keadaan itu mewujudkan kitaran yang sukar diputuskan apabila kos perniagaan yang lebih tinggi menyebabkan harga meningkat sekali gus mendorong pengguna mencari alternatif lebih murah secara dalam talian manakala sekatan terhadap alternatif berkenaan gagal menangani masalah asas.
“Itu hanya merawat simptom sedangkan penyakitnya dibiarkan begitu sahaja,” katanya.
Wong berkata Malaysia perlu memastikan persaingan yang adil dalam sektor e-dagang rentas sempadan dengan platform dan penjual asing mematuhi percukaian, perlindungan pengguna, keselamatan produk, pensijilan serta keperluan membanteras barangan tiruan yang berkuat kuasa.
Bagaimanapun beliau berkata peraturan harus memastikan keadilan dan keselamatan bukannya dijadikan alat untuk menyekat persaingan secara buatan.
“Objektifnya bukan untuk mengekalkan setiap model perniagaan sedia ada selama-lamanya. Matlamat lebih besar kita mestilah mewujudkan pengilang Malaysia yang lebih berdaya saing, PKS yang lebih kukuh dan lebih banyak produk Malaysia yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya.
Bagi Sabah, Wong menggesa usaha agresif dilakukan untuk meningkatkan kestabilan bekalan elektrik dan air, jalan raya, pelabuhan serta logistik di samping mempercepatkan pembangunan industri pembuatan dan hiliran.
“Sabah mempunyai minyak dan gas, minyak sawit, pertanian, perikanan, kayu balak dan pelbagai sumber semula jadi lain. Namun terlalu kerap kita menghasilkan atau mengeksport bahan mentah dan membeli semula produk siap yang mempunyai nilai tambah lebih tinggi.
“Kita perlu beralih daripada sekadar menghasilkan sumber kepada memproses, mengilang, membungkus dan mengeksport lebih banyak produk dari Sabah sendiri,” katanya.
Wong menggesa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah bersama-sama merangka Strategi Daya Saing Kos Sabah bagi mengurangkan secara berperingkat jurang harga yang tidak munasabah antara Sabah dan Semenanjung Malaysia, menurunkan kos menjalankan perniagaan, memperkukuh logistik serta mempercepatkan pembangunan industri pembuatan tempatan.
Beliau berkata kontroversi PDD perlu dilihat sebagai satu peringatan untuk melakukan perubahan, bukannya dijadikan alasan bagi mengamalkan dasar perlindungan.
“Jika platform e-dagang luar negara boleh mendedahkan jurang harga yang begitu ketara dalam pasaran kita, kerajaan perlu menyiasat mengapa jurang itu wujud dan menangani punca asasnya.
“Malaysia tidak boleh mengenakan cukai, peraturan atau larangan semata-mata untuk mencapai daya saing. Daya saing datang daripada tenaga yang mampu milik, logistik yang cekap, percukaian yang munasabah, infrastruktur yang boleh dipercayai, peraturan yang lebih mudah, produktiviti, teknologi dan skala.
“Sabah tidak memerlukan perlindungan kekal daripada persaingan. Sabah memerlukan infrastruktur, pelaburan dan kapasiti perindustrian untuk bersaing manakala rakyat Sabah berhak menikmati kos sara hidup yang adil dan berpatutan,” tegasnya.






