
PETALING JAYA – Prestasi perdagangan Malaysia terus mencatat pencapaian memberangsangkan pada Ogos 2026 dengan perdagangan, eksport dan import masing-masing merekodkan pertumbuhan melebihi 40 peratus tahun ke tahun.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, nilai perdagangan melonjak 43.4 peratus tahun ke tahun kepada RM354.01 bilion bulan lalu, disokong oleh kenaikan eksport 45.5 peratus kepada RM191.05 bilion, manakala import berkembang 41.1 peratus kepada RM162.96 bilion.
Angka tersebut membawa kepada lebihan dagangan sebanyak RM28.09 bilion, meneruskan rekod lebihan dagangan 76 bulan berturut-turut sejak Mei 2020.
“Pertumbuhan eksport didorong oleh peningkatan eksport barangan perkilangan dan hasil galian, khususnya barangan elektrik dan elektronik (E&E), keluaran petroleum, gas asli cecair (LNG) serta bijih logam dan serpihan logam.
“Pengukuhan berterusan barangan utama ini terus menyokong pertumbuhan keseluruhan eksport, dengan eksport barangan E&E mencecah RM656.14 bilion bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026, sekali gus berada pada landasan untuk mengatasi nilai eksport keseluruhan tahun 2025,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut MITI, eksport ke Amerika Syarikat (RM37.46 bilion) dan China (RM20.7 bilion) merekodkan nilai bulanan tertinggi setakat ini, mencerminkan permintaan kukuh yang berterusan daripada dua rakan dagang utama tersebut.
Peningkatan eksport turut dicatatkan ke rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) termasuk Hong Kong SAR, Jepun, Mexico, Republik Korea, India, United Kingdom, Turkiye, Pakistan, Kanada, Peru dan Chile, yang menunjukkan peluasan berterusan Malaysia dalam pasaran serantau dan global.
“Pada tempoh lapan bulan pertama 2026, lebihan dagangan Malaysia bernilai RM198.66 bilion, melebihi dua kali ganda berbanding nilai yang direkodkan pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.
“Lebihan dagangan juga telah melepasi nilai keseluruhan tahun 2024 dan 2025, mencerminkan kekuatan serta daya tahan perdagangan luar Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Perdagangan Malaysia melonjak 43% dipacu permintaan luar appeared first on Kosmo Online.






